Pantun Beri Maksud Mendalam Kerjasama Perniagaan Tealive-Dutch Lady
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Serangkap pantun, dua jenama pengguna yang terkenal dan seruan untuk kerjasama perniagaan yang lebih kukuh, digabungkan menjadi satu di majlis pelancaran kolaborasi minuman tenusu sedia diminum oleh Tealive dan Dutch Lady Malaysia hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim yang merasmikan kolaborasi itu berkata perkongsian antara syarikat tempatan dan syarikat multinasional (MNC) boleh menjadi model terbaik untuk memperkukuh jenama Malaysia serta memacu negara melangkaui lebih jauh daripada sekadar menjadi hab pembuatan.
Beliau membuka ucapannya dengan serangkap pantun:
“Dalam baju ada bunga,
Sang kumbang singgah tepi;
Dalam Sunway terjalin bersama,
Dua jenama bergabung sekali.”
Pantun itu secara amnya merujuk kepada kerjasama dua jenama di Sunway yang berlangsung secara harmoni dan penuh semangat.
Menggunakan imej bunga dan kumbang sebagai metafora membentuk kerjasama, ia menggambarkan bagaimana satu jenama Malaysia dan sebuah syarikat multinasional (MNC) mampu menggabungkan kekuatan masing-masing demi menawarkan produk baharu untuk pengguna.
“Ini bukan soal ‘syok sendiri’ dalam usaha beralih daripada ‘Dibuat di Malaysia’ kepada ‘Dibuat oleh Malaysia’.
“Ia disebabkan trend ekonomi global di mana kita sedang menghadapi persaingan yang sangat sengit, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga daripada kuasa-kuasa ekonomi besar,” kata Sim kepada pemberita di luar majlis pelancaran itu.
Sim berkata model ekonomi Malaysia sebelum ini sebahagian besarnya tertumpu kepada pembinaan kilang dan pembuatan produk, manakala aspek teknologi, penjenamaan dan reka bentuk pula dipegang oleh syarikat asing.
“Tealive merupakan jenama Malaysia dan kolaborasi dengan MNC ini merupakan satu model yang sangat baik,” katanya sambil menambah beliau berharap untuk melihat lebih banyak kerjasama sedemikian di pasaran, terutamanya yang melibatkan usahawan tempatan.
-- BERNAMA