BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Aliran Masuk FDI, Pengembangan Ke Luar Negara Bukti Kekuatan Ekonomi Malaysia Meningkat - Ahli Ekonomi

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kemampuan Malaysia untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dan pada masa sama syarikat tempatan pula terus berkembang ke luar negara menunjukkan kekuatan ekonomi Malaysia yang semakin meningkat, daya saing dan keyakinan pelabur terhadap prospek jangka panjang negara, kata ahli ekonomi.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melaporkan FDI bersih pada 2025 melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion daripada RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya manakala pelaburan langsung Malaysia ke luar negara (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih RM12.4 bilion, menyederhana daripada RM35.5 bilion pada 2024.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data pelaburan terkini itu menunjukkan kedudukan luaran yang baik, disokong oleh aliran masuk modal asing serta pengembangan berterusan syarikat Malaysia ke pasaran antarabangsa.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa imbangan pembayaran Malaysia kekal baik,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata akaun semasa negara mencatatkan lebihan RM32.8 bilion sekali gus melambangkan pertumbuhan berterusan dalam aktiviti perdagangan antarabangsa dan pendapatan pelaburan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, pada masa sama, akaun kewangan yang merangkumi aktiviti FDI turut merekodkan lebihan, menunjukkan bahawa minat pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia adalah positif.

Beliau berkata pelaburan syarikat Malaysia ke luar negara memaparkan peningkatan skala dan daya saing firma tempatan, yang menunjukkan syarikat tempatan telah mencapai tahap kemampuan yang membolehkan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Sebagai contoh, syarikat (yang telah berkembang di peringkat antarabangsa) meliputi sektor minyak dan gas, perbankan, perladangan, penjagaan kesihatan, tenaga, riadah, telekomunikasi, lapangan terbang serta pembinaan dan infrastruktur,” katanya

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Jabatan Penyelidikan CGS International Securities Sdn Bhd Ahmad Nazmi Idrus berkata prestasi kukuh FDI sebahagian besarnya dipacu oleh pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) terutama pusat data serta industri elektrik dan elektronik (E&E).

Beliau berkata walaupun sebahagian daripada momentum pelaburan itu dikaitkan dengan kitaran pelaburan AI global, aliran masuk itu turut mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang semakin baik. 

“Kita perlu mengakui bahawa sebahagian besar daripada FDI ini telah didorong oleh lonjakan kitaran dalam pelaburan berkaitan AI. Bagaimanapun pelaburan ini tidak akan masuk sejak awal lagi jika bukan disebabkan usaha kerajaan untuk memperkukuh asas ekonomi negara.

“Sebagai contoh, ledakan pembangunan pusat data adalah hasil daripada dasar mesra pelabur, pelaburan infrastruktur dan bekalan tenaga, dan kemungkinan kelebihan kos yang menarik,” katanya sambil memaklumkan FDI bersih pada 2025 adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata angka itu lebih rendah berbanding lonjakan selepas COVID-19 pada 2022 yang mencecah RM75 bilion. 

Menurutnya Malaysia sedang bergerak ke arah segmen nilai tambah yang lebih tinggi dalam industri E&E untuk membina kemahiran dan kepakaran khusus yang kurang terkesan dengan turun naik kitaran ekonomi.

Mengenai kesan yang lebih meluas bagi pelaburan pusat data, Ahmad Nazmi berkata sektor itu berpotensi untuk mewujudkan industri baharu yang seterusnya mempelbagaikan ekonomi Malaysia. 

“Saya berpendapat kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan kesan limpahan kepada ekonomi tempatan termasuk menggalakkan penglibatan syarikat tempatan dan membangunkan bakat tempatan. 

“Bagaimanapun, impak pusat data ini adalah lebih besar… yang mewujudkan rangkaian industri baharu untuk Malaysia, sekali gus mempelbagaikan lagi ekonomi,” katanya. 

Menurut DOSM, dalam sektor perkhidmatan, subsektor maklumat dan komunikasi menyumbang 53.6 peratus daripada jumlah aliran masuk FDI perkhidmatan pada 2025, sekali gus mencerminkan peralihan global ke arah pendigitalan dan pengembangan infrastruktur pusat data. 

DOSM memaklumkan, kedudukan FDI terkumpul negara meningkat kepada RM1.087 trilion pada akhir 2025 manakala jumlah kedudukan DIA berada pada RM589.3 bilion.

-- BERNAMA