Program MIDA-GreatAsic Perkukuh Kerjasama Strategik Rantaian Nilai Semikonduktor
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini menganjurkan MIDA-GreatAsic Value Chain Programme, yang menonjolkan kerjasama strategik antara GreatAsic Technology Sdn Bhd dan Xenith Technology (Malaysia) Sdn Bhd bagi memperkukuh keupayaan reka bentuk semikonduktor negara.
GreatAsic Technology ialah syarikat tempatan reka bentuk litar bersepadu (IC), manakala Xenith Technology (Malaysia) merupakan unit Malaysia kepada Xenith Technology yang berpangkalan di China, sebuah syarikat penyedia penyelesaian dan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS) berasaskan System-on-Chip (SoC).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata Malaysia menyasarkan untuk memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor global melalui pemupukan inovasi, pembangunan bakat tempatan serta pemerkasaan teknologi bernilai tinggi.
“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan terhadap bakat Malaysia, memperlihatkan kematangan ekosistem tempatan dan membuktikan bagaimana perkongsian strategik mampu menterjemahkan aspirasi nasional kepada hasil perniagaan sebenar.
“Ia juga menjadi bukti bahawa inisiatif berterusan kerajaan dan industri bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor negara kini mula membuahkan hasil yang ketara,” katanya dalam ucapan beliau.
Beliau berkata perubahan geopolitik, penstrukturan semula rantaian bekalan serta persaingan yang semakin sengit dalam kepimpinan teknologi sedang membentuk semula landskap industri semikonduktor global, sekali gus membuka ruang kepada Malaysia untuk berkembang ke segmen bernilai lebih tinggi.
“Malaysia telah lama diiktiraf sebagai hab pembuatan semikonduktor global yang dipercayai dan berkeupayaan, dan kekuatan ini menyediakan asas yang kukuh.
“Namun, langkah seterusnya yang tidak kurang penting ialah melonjak ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai, daripada sekadar pembuatan kepada penciptaan nilai melalui reka bentuk dan pembangunan teknologi,” katanya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GreatAsic Ong Chin Hu, berkata kerjasama itu melangkaui kepentingan komersial semata-mata, sebaliknya menjadi platform strategik untuk membuktikan kemampuan syarikat Malaysia yang disokong bakat kejuruteraan tempatan dalam menyampaikan penyelesaian reka bentuk IC yang kompleks dan kritikal kepada pasaran global.
“Inisiatif seperti ini menghubungkan aspirasi nasional dengan projek komersial sebenar, sekali gus membolehkan syarikat dan jurutera tempatan membina keupayaan melalui pelaksanaan, bukan sekadar cita-cita,” katanya.
Beliau berkata GreatAsic akan menyumbang kepada pembangunan SoC ADAS generasi baharu berasaskan teknologi lima nanometer untuk Xenith, yang disasarkan bagi aplikasi pemanduan autonomi Tahap 4.
“Cip ini direka untuk memenuhi keperluan prestasi, kecekapan tenaga, kebolehpercayaan serta keselamatan fungsian yang amat tinggi.
“Kejayaan projek ini menuntut disiplin, pelaksanaan berfokus, kerjasama rapat serta komitmen tanpa kompromi terhadap kualiti, namun pencapaian paling bermakna ialah keupayaan yang berjaya dibangunkan di Malaysia,” katanya.
Program MIDA-GreatAsic Value Chain turut dihadiri wakil daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Ekonomi; Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia; Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara; serta Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor.
Program itu turut menampilkan sesi bual bicara #BorakBersamaCEOMIDA bertajuk “Developing Malaysia’s Future Semiconductor Workforce”, yang melibatkan 20 jurutera Malaysia yang direkrut oleh GreatAsic.
Sesi berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berkongsi pandangan mengenai penglibatan jurutera tempatan dalam projek reka bentuk semikonduktor berteknologi tinggi.
-- BERNAMA