BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Purata Dagangan Harian Pertukaran Asing Malaysia Meningkat Kepada US$21.3 Bilion - BNM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pasaran pertukaran asing (FX) Malaysia kekal kukuh dengan purata dagangan harian forex meningkat kepada US$21.3 bilion setakat Jun 2026 daripada US$19.8 bilion pada 2025, menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM memaklumkan bahawa peningkatan itu didorong oleh aliran dua hala yang seimbang, aktiviti FX korporat kekal konsisten dengan jangkaan umum.

Bank pusat mengeluarkan kenyataan hari ini berikutan mesyuarat FMC pada Selasa untuk membincangkan perkembangan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit.

Ad Banner

“Pada masa hadapan, perkembangan luaran serta faktor domestik dijangka terus memacu prestasi ringgit, namun profil ekonomi Malaysia yang kukuh akan membantu memberikan sokongan berterusan kepada ringgit,” menurut BNM.

Dalam mesyuarat berkenaan, Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa pemantauan teliti perkembangan pasaran kewangan akan diteruskan dan mengesahkan komitmennya untuk memastikan keadaan pasaran yang teratur.

“Langkah-langkah yang sedang berjalan sekarang untuk menggalakkan aliran masuk seperti program syarikat pelabur pemastautin yang berkelayakan serta libat urus dengan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat korporat untuk membawa pulang dan menukar hasil pendapatan korporat masih berjalan dan akan diperkasakan,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut BNM, pergerakan ringgit dan mata wang serantau baru-baru ini terus didorong oleh perkembangan global.

“Walaupun ketidaktentuan geopolitik telah agak mereda berikutan perjanjian damai sementara yang ditandatangani oleh AS dan Iran, pasaran kewangan global kekal tertumpu kepada prospek kadar dasar lebih tinggi di AS dalam keadaan risiko inflasi yang meningkat,” menurut BNM.

BNM menekankan ahli FMC bersetuju bahawa asas makroekonomi Malaysia menggalakkan kekal tidak berubah seperti ditunjukkan dalam petunjuk positif seperti data perdagangan lebih kukuh daripada jangkaan dan inflasi yang stabil. 

-- BERNAMA