BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Kerajaan Perkukuh Kapasiti Sumber Air Johor Sokong Pertumbuhan Pusat Data

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendekatan jangka panjang untuk memastikan keselamatan sumber air di Johor terus terjamin selaras dengan pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pembangunan bandar dan pelaburan strategik termasuk pusat data.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata berdasarkan laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), jumlah pengambilan air mentah di Johor pada masa ini adalah sebanyak 2,052 juta liter sehari (JLH).

“Dalam hubungan ini, kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh kapasiti sumber air mentah dan sistem bekalan air di Johor melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik.

Ad Banner

“Ini termasuk cadangan pembangunan empangan, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), baraj dan infrastruktur penyaluran air mentah,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai pelan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kapasiti sumber air Johor memandangkan negeri itu kini menjadi hab utama pusat data di Asia Tenggara.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata selain memperkukuh sumber air mentah, kerajaan bersama operator air negeri turut meneliti keperluan peningkatan kapasiti sistem bekalan dan loji rawatan air secara berperingkat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya ini berdasarkan unjuran permintaan semasa dan masa depan untuk memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dapat disediakan.

“Pada masa yang sama, sebanyak empat projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kapasiti bekalan air terawat di Johor.

“Kerajaan turut melihat air pulih guna sebagai antara komponen penting dalam strategi jangka panjang keselamatan air, khususnya bagi sektor industri yang mempunyai keperluan penggunaan air yang tinggi seperti pusat data,” katanya.

-- BERNAMA