BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Malaysia Airlines Lakukan Pelarasan Sementara Operasi Di Terminal Udara KL CAT

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Malaysia Airlines sedang melaksanakan pelarasan sementara bagi operasi daftar masuk di Terminal Udara Kuala Lumpur City (KL CAT), KL Sentral, di sini bagi tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember 2026.

Dalam hantaran disiarkan di laman X hari ini, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan usaha berkenaan adalah sebahagian daripada langkah meningkatkan pengalaman pengembaraan para penumpang.

Sehubungan itu, penumpang digalakkan untuk menyelesaikan urusan daftar masuk menerusi laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alih sebelum melakukan perjalanan masing-masing.

Ad Banner

“Perkhidmatan yang ditawarkan di KL CAT dalam tempoh itu termasuk kiosk daftar masuk layan diri, kemudahan daftar masuk bagasi sendiri (SBD) dan kaunter daftar masuk dengan bantuan terhad,” menurutnya.

Mengikut kenyataan itu, hanya satu kaunter daftar masuk beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 8 malam sepanjang tempoh berkenaan untuk penumpang kelas perniagaan dan keutamaan yang layak selain membantu penumpang kelas ekonomi apabila perlu.

Penumpang yang memerlukan bantuan penuh bagi urusan daftar masuk boleh terus menggunakan mana-mana kaunter daftar masuk di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dinasihatkan agar tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas bagi memberi masa mencukupi untuk tujuan daftar masuk, tapisan keselamatan serta pengesahan dokumen perjalanan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Malaysia Airlines kekal komited dalam menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar serta cekap dan menghargai pemahaman penumpang serta sokongan berterusan sepanjang tempoh pelarasan sementara ini,” menurutnya.

-- BERNAMA