Desatera Sasar Tambah Kira-kira 15 Outlet Komersial Pada 2026
BANGI, 23 Jun (Bernama) -- Desatera Sdn Bhd, anak syarikat Brahim’s Dewina Group, menyasarkan untuk meningkatkan jumlah outlet komersial kepada sekurang-kurangnya 15 premis tahun ini berbanding sembilan pada masa ini dalam usaha memacu pertumbuhan masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Feizal Nor Nurbi berkata syarikat perkhidmatan makanan dan sokongan itu juga sedang memuktamadkan beberapa projek baharu yang dijangka mula beroperasi dalam beberapa bulan akan datang.
“Ada beberapa projek yang sedang dimuktamadkan dan diharap dapat dilaksanakan pada Julai atau Ogos nanti.
“Saya melihat segmen komersial mempunyai peluang lebih besar untuk berkembang kerana tiada had dari segi potensi pertumbuhan berbanding kontrak tertentu dengan (had) siling tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan inisiatif sajian makanan pada harga mampu milik, Buffet RM10 Dapur Brahim's di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Desatera juga merupakan antara syarikat teras di bawah kumpulan Brahim’s dalam bidang perkhidmatan makanan berskala besar, terutama katering bagi organisasi atau institusi.
Syarikat itu juga lebih dikenali sebagai antara penyedia perkhidmatan makanan utama bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak memulakan projek rintis pada 1996.
Mengulas selanjutnya, Feizal berkata Desatera akan terus menumpukan bidang kepakaran teras dalam industri katering dan perkhidmatan makanan selain menyesuaikan model perniagaan dan penawaran mengikut perubahan pasaran.
Menurutnya, kekuatan Desatera turut disokong oleh ekosistem makanan dimiliki kumpulan Brahim’s yang merangkumi katering, produk makanan sedia dimakan, pembuatan makanan serta penyelidikan dan pembangunan.
Pendekatan itu, katanya, membolehkan kumpulan berkenaan menawarkan penyelesaian makanan yang menyeluruh kepada pelanggan dalam pelbagai segmen pasaran.
-- BERNAMA