BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

UK, Malaysia Mulakan Rundingan Mengenai Perjanjian Perdagangan Digital

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur mengumumkan bahawa rundingan mengenai perjanjian perdagangan digital (DTA) yang baharu antara United Kingdom (UK) dan Malaysia telah bermula.

Menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, DTA menyasarkan untuk menjadikan perdagangan digital dengan Malaysia lebih mudah, lebih murah dan lebih selamat melalui aliran data rentas sempadan selain mengurangkan kertas kerja dan halangan di sempadan melalui sistem digital dan memastikan perlindungan yang kukuh untuk data peribadi, harta intelek, pengguna dalam talian dan keselamatan siber.

“Perjanjian itu bertujuan memperkukuh kerjasama digital dan teknologi antarabangsa dengan menyokong inovasi yang bertanggungjawab dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan data selain mewujudkan kerjasama baharu yang meningkatkan rantaian bekalan, infrastruktur dan daya saing global yang cekap,” menurutnya.

Ad Banner

Menteri Perdagangan UK Chris Bryant dalam kenyataan yang sama berkata rundingan dengan Malaysia merupakan langkah penting untuk memperkukuh kedudukan UK sebagai peneraju dunia dalam perdagangan digital.

“Perjanjian perdagangan digital UK-Malaysia berpotensi untuk membuka peluang baharu kepada perniagaan dari UK, menyokong pekerjaan berkemahiran tinggi serta memastikan syarikat kami dapat bersaing dan berkembang maju dalam pasaran yang berkembang pesat dan dipacu teknologi,” katanya.

Menurut Suruhanjaya Tinggi British, UK merupakan peneraju dunia dalam perdagangan digital dan mempunyai hubungan perdagangan yang semakin berkembang dengan Malaysia, bernilai £6.4 bilion (£1 = RM 4.73) pada 2025.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

UK mengeksport perkhidmatan digital bernilai £730 juta ke Malaysia pada 2023 manakala Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menganggarkan bahawa pada 2022, eksport ke Malaysia menyokong 31,100 pekerjaan di UK.

-- BERNAMA