BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Kerjasama Malaysia-Turkmenistan Melangkaui Kepentingan Komersial - PM Anwar

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

ASHGABAT (TURKMENISTAN), 19 Jun (Bernama) -- Perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dan Turkmenistan mencerminkan komitmen bersama bagi kerjasama jangka panjang yang melangkaui  kepentingan komersial, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memulakan operasi di Turkmenistan pada 1996, dan kemudian berkembang menjadi kerjasama berkekalan antara kedua-dua negara.

Ad Banner

“Seperti yang saya suarakan berulang kali kepada Presiden (Serdar Berdimuhamedov), ini bukanlah usaha niaga biasa seperti yang pernah kita lalui dengan syarikat multinasional (MNC) pada masa lepas.

“Petronas berada di sini sebagai rakan kongsi, rakan yang boleh dipercayai, berkongsi pengalaman, memindahkan teknologi dan komited untuk bekerjasama sebagai satu pasukan...kita mahu maju bersama-sama,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Forum “Turkmenistan-Malaysia: 30 years of Mutual Beneficial Cooperation in the Oil and Gas Industry and New Horizon of Partnership” di sini, hari ini.

Presiden Berdimuhamedov turut menyampaikan ucaptama pada acara tersebut.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Anwar berkata itu bukan kaedah tradisional atau cara yang lazim dalam pelaburan, menawarkan pelaburan secara langsung justeru sepanjang 30 tahun berada di Turkmenistan, Petronas dan Malaysia mahu menyerlahkan makna sebenar perkongsian dalam kerjasama.

“Universiti kami dan universiti anda, kemudahan penyelidikan kami dan kemudahan penyelidikan anda, kepakaran kami dan kepakaran anda serta penglibatan kami dalam teknologi baharu yang lebih mencabar seperti AI (kecerdasan buatan) dan semikonduktor adalah milik kita bersama apabila kita komited untuk bekerja sebagai satu pasukan.

“Kami akan terus memastikan kalangan profesional muda dari Turkmenistan dan Malaysia meraih manfaat daripada kerjasama ini,” kata beliau.

Beliau berkata aspek itu juga menjadi contoh kepada negara Global Selatan mengenai maksud sebenar kerjasama.

Pada majlis itu, tiga perjanjian telah dimeterai antara Petronas dan Turkmenistan selain Perjanjian Rangka Kerja antara Kerajaan Malaysia dan Turkmenistan mengenai pembangunan sumber hidrokarbon Turkmenistan jangka panjang.

Kedua-dua pemimpin turut meluangkan masa melawat pameran khas mengenai kerjasama Turkmenistan-Malaysia.

Sebanyak 21 syarikat Malaysia, 20 syarikat tempatan Turkmenistan dan lapan syarikat antarabangsa serta agensi kerajaan tempatan menyertai forum tersebut.

-- BERNAMA