BERITA TERKINI   Masalah kewangan TH mungkin dapat dibendung lebih awal jika amaran BNM ditangani sewajarnya sejak 2014 - Zulkifli | Kerajaan tegaskan simpanan pendeposit TH selamat - MOF | Kerajaan tegaskan kerugian TH yang berpunca daripada salah urus kewangan, pelaburan sebelum 2018 tidak hilang - MOF | Kerajaan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa; keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada pendakwa raya - MOF | Cadangan wujudkan 'multi-agency task force' siasat pelaburan TH yang berisiko kerugian, diteliti untuk pelaksanaan - Zulkifli | 

Aliran Trafik Antarabangsa KLIA Naik Dua Peratus Sejajar Kempen TMM 2026 -- MAHB

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Pertumbuhan aliran trafik antarabangsa yang berterusan hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai gerbang serantau utama di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Menerusi kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat sebanyak 4.9 juta pergerakan atau mobiliti penumpang pada Mei 2026, termasuk 3.6 juta penumpang antarabangsa yang merupakan peningkatan sebanyak dua peratus berbanding Mei 2025.

Di serata rangkaian kendalian Malaysia Airports, jumlah pergerakan penumpang mencecah 7.9 juta pada bulan berkenaan, disokong oleh kesalinghubungan penerbangan antarabangsa yang terus kukuh.

Ad Banner

“Langkah memperkenalkan perkhidmatan penerbangan terus antara Chongqing dan Kuala Lumpur, hanya mengukuhkan lagi kesalinghubungan kita dengan China yang juga antara pasaran pengunjung utama bagi Malaysia.

“Tindakan mengembangkan lagi ketersambungan udara yang strategik seperti ini, kekal penting dalam usaha menyokong pertumbuhan pelancongan selain meningkatkan akses Malaysia kepada pengembara antarabangsa,” kata Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani. 

Menurut MAHB, terdapat beberapa penambahbaikan berorientasikan penumpang yang siap sepanjang bulan berkenaan, termasuk kaunter daftar masuk yang dinaik taraf di Lapangan Terbang Miri (MYY) dan Lapangan Terbang Limbang (LMN), zon pengambilan e-hailing yang diperluas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) serta fasa pertama kerja-kerja pengubahsuaian tandas di Lapangan Terbang Subang (SZB).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) iaitu aset antarabangsa milik penuh MAHB di Turkiye, telah mengendalikan sebanyak 4.1 juta penumpang pada Mei 2026 yang merupakan peningkatan 10.8 peratus berbanding April 2026.

-- BERNAMA