BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Kedudukan Malaysia Dalam Penarafan IMD Naik Hasil Pembaharuan, Kerjasama Awam-swasta - FMM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Peningkatan Malaysia pada kedudukan ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) mencerminkan usaha pembaharuan yang berterusan dan penyelarasan yang lebih erat antara sektor awam serta swasta, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Dalam satu kenyataan hari ini, FMM berkata ia telah menyumbang kepada proses itu menerusi penyertaannya dalam Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan platform penglibatan kerajaan-industri yang lain. 

“Sejak bertahun-tahun lamanya, FMM telah secara konsisten menyokong penambahbaikan dalam proses kawal selia, pemudahan perdagangan, pentadbiran cukai, kecekapan logisitk, operasi pelabuhan dan pengurangan beban pematuhan terhadap perniagaan,” katanya. 

Ad Banner

Menurut FMM, penambahbaikan dalam pelesenan perniagaan, prosedur kastam, pendigitalan perkhidmatan kerajaan dan mekanisme perundingan pihak berkepentingan telah membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif. 

“Peningkatan ketara dalam kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan menunjukkan impak positif daripada usaha pembaharuan yang berterusan serta kerjasama awam-swasta,” katanya.

FMM juga berkata penarafan daya saing yang lebih tinggi mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan langsung asing, menyokong integrasinya ke dalam rantaian bekalan serantau dan global, serta meningkatkan keyakinan pelabur di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan yang meningkat. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut persekutuan itu, keputusan itu adalah selaras dengan cita-cita kerajaan untuk menempatkan Malaysia sebagai antara 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033, dengan penambahbaikan berterusan dalam infrastruktur, kecekapan logistik, pemudahan perdagangan, kesediaan tenaga kerja dan kos keseluruhan yang diperlukan bagi menjalankan perniagaan mencapai sasaran tersebut. 

“Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara, penambahbaikan selanjutnya dalam ketersambungan pengangkutan, prestasi pelabuhan, infrastruktur digital, kebolehpercayaan tenaga, kebolehramalan kawal selia dan kelajuan kelulusan projek akan menjadi penting dalam mengekalkan daya saing dan menarik pelaburan bernilai lebih tinggi," katanya.

Seterusnya, FMM berkata ia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk mengekalkan momentum dan memperkukuhkan lagi daya saing Malaysia. 

“Menerusi PEMUDAH dan platform industrinya sendiri, FMM akan terus menyediakan maklum balas industri berasaskan data dan cadangan dasar praktikal mengenai isu yang menjejaskan daya saing perniagaan, termasuk pemudahan perdagangan, kecekapan logistik, pentadbiran cukai, pembaharuan kawal selia, keterjaminan bahan mentah dan penerimaan Industri 4.0.

“Kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta adalah penting untuk menterjemahkan kenaikan ini kepada pelaburan yang lebih kukuh, produktiviti yang lebih tinggi, pewujudan pekerjaan yang berkualiti dan sektor perkilangan yang lebih berdaya tahan,” katanya. 

Semalam, dilaporkan bahawa Malaysia telah naik lapan anak tangga dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD bagi 2026 ke tangga ke-15 dari 70 negara. 

Ini menandakan peningkatan yang ketara daripada tempat ke-23 pada 2025 dan ke-34 pada 2024, mewakili kedudukan tertinggi Malaysia dalam indeks tahunan setakat ini.

-- BERNAMA