BERITA TERKINI   Malaysia negara pertama di dunia tubuh Tribunal Anti-Buli, selaras komitmen Kerajaan MADANI kekang budaya buli - Azalina | PRN Johor: KDN beri jaminan pergerakan rakyat Johor bekerja di Singapura untuk pulang mengundi berjalan lancar - Saifuddin Nasution | PRN Johor : Pakatan Harapan akan lancar manifesto dalam masa terdekat - Saifuddin Nasution | Kerajaan peruntuk RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia bantu golongan memerlukan dapatkan representasi guaman, pembelaan hak di Mahkamah Syariah - PM Anwar | PRN Johor : BN dan PH tanding 56 DUN, PN (33), Bersama (15), MUDA (4), bebas (6), Parti Orang Asli Malaysia (satu) dan PSM (satu) - SPR | 

Synology Catat Pertumbuhan Kukuh Di Malaysia Susulan Peningkatan Permintaan Penyimpanan Data

Daripada Siti Noor Afera

TAIPEI, 3 Jun (Bernama) -- Pembekal teknologi pengurusan data yang berpangkalan di Taiwan, Synology Inc menjangkakan storan perusahaan dan penyelesaian sandaran akan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utamanya di Malaysia.

Ia disokong oleh peningkatan permintaan daripada agensi kerajaan dan pengilang bagi perlindungan serta privasi data yang dipertingkatkan.

Ad Banner

Pengurus Negara Malaysia Jason Sin berkata banyak organisasi kini semakin mencari alternatif yang menjimatkan kos bagi mengurus jumlah data yang kian meningkat terutamanya ketika kos teknologi terus melambung tinggi manakala bajet teknologi maklumat (IT) kekal terhad.

“Buat masa ini, ia melibatkan storan dan sandaran untuk pihak perusahaan dan banyak perusahaan sedang mencari alternatif. Semua harga melambung tinggi, tetapi bajet IT tidak meningkat.

“Ini merupakan peluang yang baik untuk Synology pada masa sekarang kerana pihak perusahaan sedang mencari alternatif.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Mereka mendapati Synology bukan sekadar vendor storan, malah kami juga menyediakan penyelesaian sandaran,” katanya kepada Bernama di luar acara Computex 2026, sebuah pameran global yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan syarikat pemula niaga.

Sin berkata, permintaan sektor awam sebahagian besarnya dipacu oleh keperluan penyelesaian sandaran apabila mereka berusaha untuk melindungi data yang disimpan dalam persekitaran awan.

“Kerajaan lebih memberi tumpuan kepada penyelesaian sandaran. Anda hanya mempunyai storan untuk menyimpan data anda. Jadi, mereka sedang mencari penyelesaian sandaran alternatif bagi semua data daripada awan,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengilang kini semakin mengutamakan kedaulatan dan privasi data yang menterjemah kepada permintaan lebih kukuh terhadap infrastruktur storan di premis.

Sementara itu, Sin optimis terhadap prospek Malaysia sebagai destinasi pusat data serantau dengan memuji persekitaran operasi negara yang kondusif.

“Malaysia ialah lokasi yang sangat baik untuk pusat data. Ia tidak mempunyai sebarang bencana alam.

“Perkara kedua ialah elektrik. Kita mempunyai banyak sumber air di Malaysia. Jadi, anda membina asas yang sangat baik untuk membina pusat data di sini,” tambah beliau.

-- BERNAMA