Niaga Hadapan KLCI Dijangka Berlegar Dalam Julat 1,660-1,690 Minggu Hadapan
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,660-1,690 pada minggu depan, kata seorang penganalisis.
Ini berikutan ketidaktentuan mungkin berterusan ketika pelabur memantau perkembangan dalam sektor teknologi global, peristiwa geopolitik dan aliran masuk serta keluar dana asing, katanya.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kepada Bernama, gabungan keadaan pasaran yang terlebih jual dan penilaian yang lebih menarik dijangka menyokong aktiviti pembelian saham pada harga murah.
Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI diniagakan kebanyakannya rendah, sejajar dengan prestasi pasaran tunai.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Jun 2026 merosot 48.0 mata kepada 1,668.0, Julai 2026 susut 47.5 mata kepada 1,669.50, kontrak September 2026 jatuh 47.0 mata kepada 1,650.0 dan Disember 2026 turun 44 mata kepada 1,653.0.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 146,493 lot daripada 32,203 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 93,884 kontrak daripada 37,764 kontrak pada minggu sebelumnya.
Secara mingguan, indeks petunjuk pasaran menyusut 44.29 mata kepada 1,667.74 daripada 1,712.03 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA