TPM Fadillah Kagum Dengan Motorhome Bernama Yang Dipamer Di ETCon26
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof kagum semasa melakukan lawatan ke motorhome Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dipamerkan di pameran yang diadakan bersempena dengan edisi kedua Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26).
Secara kebetulan, tepat setahun yang lalu motorhome Bernama itu, yang kini dikenali sebagai Bernama Mobile Studio dilancarkan untuk membolehkan temu bual langsung dijalankan di lapangan dan di lokasi luar studio bagi membuat liputan acara berita utama yang sedang berlangsung.
Bernama merupakan agensi media pertama yang menggunakan kenderaan rekreasi atau motorhome untuk operasi pelaporan lapangan dengan peralatan penyiaran di dalam kenderaan dikuasakan oleh bateri elektrik.
Studio bergerak itu bukan sahaja membolehkan wartawan menjalankan temu bual secara langsung dengan responden tetapi juga menyediakan nilai komersial untuk pelanggan Bernama yang memerlukan liputan di lokasi bagi acara berskala besar.
Kira-kira 4,000 peserta menghadiri ETCon26 yang berlangsung selama tiga hari dari 3 hingga 5 Jun itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Semasa sesi lawatan ke motorhome Bernama itu Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diiringi timbalannya Datuk Abdul Rahman Mohamad.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah, Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad.
Sejurus ketibaan beliau, Fadillah disambut oleh eksekutif jualan kanan Bernama Broadcasting Noor Mahirah Mat Dan dan kakitangan Bernama yang lain.
Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau motorhome, berinteraksi dengan wakil Bernama dan bergambar bersama ahli delegasi.
Bernama yang dilantik sebagai rakan media rasmi bagi ETCon26 akan menyediakan liputan media, menerbitkan surat berita dan mengadakan temu bual dengan peserta di motorhome sepanjang persidangan tersebut.
Fadillah juga meluangkan masa hampir sejam melawat reruai pameran dan berinteraksi bersama pemain industri utama yang menyertai persidangan itu, termasuk TNB dan Malakoff Corporation Bhd.
Beliau kemudiannya melawat reruai pameran syarikat pusat data terkemuka termasuk DayOne Data Centers dan K2 Strategic Infrastructure Malaysia serta penyedia penyelesaian kecerdasan buatan Trilliant Networks Inc.
ETCon26 yang bertemakan "Tenaga & AI: Sinergi untuk Peralihan Tenaga" menampilkan lebih daripada 50 pempamer dan 80 penceramah merentas sektor tenaga dan teknologi.
Delegasi dari lebih 60 buah negara menghadiri persidangan utama TNB itu yang berfungsi sebagai platform untuk mempercepatkan pelaksanaan agenda peralihan tenaga Malaysia dan memupuk kerjasama serantau mengenai penyelesaian tenaga lestari.
-- BERNAMA