Sime Darby Property Kekal Positif Untuk Capai Sasaran Jualan RM4 Bilion Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd optimistik untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM4 bilion tahun ini, walaupun kos pembinaan semakin meningkat dan sentimen berhati-hati dalam kalangan pengguna. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Azmir Merican berkata syarikat itu akan sentiasa berwaspada terhadap pelancaran hartanah baharu serta merasionalisasikan reka bentuk untuk mengekalkan margin yang kukuh. 

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan pasukan saya dan mendapatkan maklum balas (mengenai perkara ini). 

Ad Banner

“Biasanya, kami akan menyemak semula pada suku kedua tahun kewangan. Tetapi sehingga hari ini, kami masih berharap dapat mencapai sasaran RM4 bilion (bagi tahun ini),” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan kewangan suku pertama kumpulan itu, hari ini. 

Sime Darby Property mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM158.78 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (S1 2026), berbanding  RM118.41 juta dalam suku tahun sebelumnya. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata pengukuhan prestasi itu sebahagian besarnya disebabkan oleh keuntungan nilai saksama sebanyak RM65.1 juta yang diiktiraf selepas siapnya pusat data binaan untuk pajakan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen pelaburan dan pengurusan aset, ditambah pula dengan bahagian kerugian yang lebih rendah daripada usaha sama.

Mengenai cabaran yang dihadapi oleh industri pembinaan tahun ini, Azmir mengakui bahawa kos pembinaan telah meningkat susulan peningkatan harga minyak di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan global. 

Oleh itu, katanya, syarikat itu akan berbincang dengan kontraktor mengenai harga walaupun mereka telah memperoleh kontrak dan pemberiannya adalah pada harga tertentu. 

“Bagi projek akan datang, kita perlu memberi tumpuan kepada perkara ini (kos). Tetapi ia bukan hanya mengenai harga, tetapi juha mengenai rantaian bekalan.

“Rantaian bekalan mesti memastikan bahawa apabila kami melancarkan (sesuatu projek), kami mempunyai bahan yang mencukupi untuk menyiapkan kerja,” katanya. 

Bagi memastikan daya tahan dan pertumbuhan yang mampan di tengah-tengah persekitaran global yang semakin tidak menentu, Azmir berkata syarikat akan menyediakan produk yang tepat pada harga yang tepat untuk kekal berhemat dan menghasilkan reka bentuk hartanah akan datang menggunakan bahan yang sesuai bagi menjimatkan beberapa kos.  

“Kami kekal berhemat dan memantau pelancaran sedia ada dan tingkah laku pengguna kami, kerana kami perlu memastikan produk yang akan kami lancarkan berjaya,” tambahnya. 

-- BERNAMA