BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Indeks Harga Pengeluar Malaysia Catat Kenaikan 5.4 Peratus Pada April 2026

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 5.4 peratus pada April 2026 berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya, peningkatan tertinggi sejak Ogos 2022, terutamanya didorong oleh harga produk berkaitan petroleum dan minyak mentah yang lebih tinggi, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Dalam satu kenyataan mengenai IHPR pengeluaran tempatan bagi April 2026, Ketua Perangkawan  Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua sektor merekodkan peningkatan pada April 2026, dengan sektor perlombongan meningkat dengan ketara sebanyak 53.4 peratus, daripada 26.5 peratus pada Mac 2026, terutamanya didorong oleh pengekstrakan indeks petroleum mentah yang melonjak sebanyak 74.5 peratus. 

Sektor pertanian perhutanan dan perikanan meningkat 2.7 peratus, iaitu pemulihan selepas penurunan sebanyak 5.6 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks perikanan (17.5 peratus) dan penanaman tanaman kekal (1.4 peratus). 

Ad Banner

Sektor pembuatan turut meningkat 1.1peratus, berbanding penurunan 0.8 peratus pada Mac 2026 berikutan peningkatan indeks pembuatan komputer, produk eletronik dan optikal sebanyak 3.8 peratus dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (3.0 peratus). 

“Sementara itu, sektor bekalan air, elektrik dan gas masing-masing naik 10.8 peratus dan 10.6 peratus,” kata Mohd Uzir. 

Bagi asas bulan ke bulan pula, beliau berkata IHPR pengeluaran tempatan terus meningkat sebanyak 3.2 peratus susulan peningkatan 4.2 peratus pada bulan sebelumnya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sektor perlombongan merekodkan peningkatan dua angka sebanyak 19.8 peratus (Mac 2026: 32.9 peratus, disokong oleh kenaikan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (21.4 peratus) dan pengekstrakan gas asli (12.0 peratus). 

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan naik 2.4 peratus (Mac 2026: 2.8 peratus), terutamanya disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (4.6 peratus). 

Selain itu, sektor pembuatan juga meningkat 1.4 peratus (Mac 2026: 1.7 peratus) disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum ditapis (4.9 peratus). 

Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air, masing-masing meningkat 1.2 peratus dan 0.9 peratus. 

Mengikut peringkat pemprosesan pula, Mohd Uzir berkata indeks bahan mentah untuk pemprosesan selanjutnya meningkat 26.1 peratus (Mac 2026: 9.8 peratus), disokong oleh bahan bukan makanan (31.2 peratus).

Pada masa sama, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat sebanyak 0.8 peratus (Mac 2026: -1.3 peratus), terutamanya disebabkan oleh bahan dan komponen untuk pembinaan (5.9 peratus). 

“Sementara itu, indeks barang siap meningkat 0.7 peratus (Mac 2026:-0.1 peratus) didorong oleh kelengkapan modal (0.8 peratus),” katanya. 

Pada asas bulan ke bulan, semua peringkat pemprosesan mencatatkan kenaikan pada April, dengan indeks bahan mentah bagi pemprosesan selanjutnya meningkat sebanyak 10.0 peratus. 

Beliau berkata indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen serta bahan siap masing-masing meningkat 1.0 peratus dan 0.3 peratus pada bulan ini. 

Secara perbandingan antara beberapa ekonomi terpilih menunjukkan trend peningkatan dalam IHPR pada April 2026, terutamanya didorong oleh kenaikan harga tenaga dan komoditi global, gangguan rantaian bekalan dan kos pengeluaran yang meningkat. 

Di Amerika Syarikat (AS), IHPR meningkat sebanyak 6.0 peratus, berbanding 4.3 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh kos tenaga dan pembuatan yang lebih tinggi. 

Jepun pula merekodkan peningkatan 4.9 peratus, daripada 2.9 peratus pada Mac 2026, sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan kos import bahan api dan bahan mentah. 

Dalam pada itu, China mencatatkan peningkatan 2.8 peratus, berbanding kenaikan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya. 

IHPR Thailand melonjak 9.1 peratus berbanding peningkatan 6.0 peratus pada bulan sebelumnya, terutamanya didorong oleh kenaikan harga dalam sektor berkaitan tenaga dan makanan. 

-- BERNAMA