BERITA TERKINI   Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | Penerangan mengenai krisis bekalan global akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan - Akmal Nasrullah | Malaysia kekal pendirian tidak iktiraf junta Myanmar, lawatan tidak rasmi saluran komunikasi tangani krisis - Mohamad Hasan | ASEAN teliti pendekatan baharu perkukuh pelaksanaan 5PC bagi krisis di Myanmar - Mohamad Hasan | 

Syarikat F&B Malaysia Sasar Pengembangan Global Di Thaifex Anuga Asia 2026

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia Business Group (MBG), sebuah konglomerat pengeluar makanan dan minuman (F&B) yang berorientasikan eksport, bersedia membina pengaruhnya di Thaifex Anuga Asia 2026, yang merupakan pameran perdagangan F&B terbesar dan paling komprehensif di Asia.

Sebanyak 23 syarikat Malaysia di bawah MBG menyasarkan untuk memperluas kehadiran mereka di pasaran global di pameran perdagangan F&B utama rantau ini, yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Mei.

Ad Banner

Naib Presiden MBG Mark Law berkata kumpulan itu berharap syarikat yang mengambil bahagian akan meraih jualan sekurang-kurangnya RM15 juta di pameran itu tahun ini.

Beliau berkata kebanyakan daripada 23 syarikat F&B Malaysia itu merupakan pempamer berulang, sekali gus memberi keyakinan pameran tersebut akan menyokong usaha pengembangan antarabangsa mereka.

“Kami menjangkakan jualan meningkat kepada kira-kira RM15 juta tahun ini, terutamanya kerana kebanyakan syarikat memperkenalkan produk-produk baharu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ini kerana mereka menampilkan lebih banyak produk inovatif yang disesuaikan untuk pasaran berbeza dan mereka datang dengan persediaan yang lebih baik berdasarkan pengalaman lepas,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Mark berkata MBG bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia untuk mengenal pasti pasaran yang paling sesuai bagi produk Malaysia.

“Kami mahu memahami keperluan pasaran semasa. Sebagai contoh, jika kami menyasarkan 7-Eleven, kami perlu tahu apa produk yang dicari oleh 7-Eleven.

“Kami memerlukan risikan pasaran, kajian pasaran dan tinjauan supaya kami dapat menghasilkan produk, atau membungkusnya dengan cara yang menarik perhatian di 7-Eleven,” katanya.

Mark menambah minuman sedia diminum Malaysia dan produk yang diperakui halal dijangka menerima permintaan yang stabil di pameran perdagangan itu.

Sebanyak 159 syarikat Malaysia akan menyertai Thaifex Anuga Asia 2026, yang dianjurkan setiap tahun oleh Jabatan Penggalakan Perdagangan Antarabangsa dengan kerjasama Dewan Perniagaan Thai dan Koelnmesse, salah satu penganjur pameran perdagangan terkemuka dunia.

Pameran perdagangan itu bakal berlangsung di Impact Arena, Muang Thong Thani dan dijangka menarik pembeli, pengimport serta wakil industri makanan dari lebih 130 negara, dengan lebih 1,168 pempamer dari Thailand dan luar negara.

Pameran itu akan mengetengahkan pameran F&B, sesi padanan perniagaan antarabangsa, pameran teknologi dan inovasi makanan, serta perbincangan mengenai trend makanan masa depan dan sekuriti makanan.

-- BERNAMA