Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Selepas Indonesia Perkenal Dasar Kawalan Eksport
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur pada hari Rabu, sebahagian besarnya disebabkan pengesahan dasar kawalan eksport Indonesia, menurut Editor Pengurusan dan Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa.
Berkongsi pandangan yang sama, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata harga MSM berubah daripada positif kepada negatif di tengah-tengah tanda permintaan eksport yang semakin lemah.
Berita mengenai Indonesia mengetatkan kawalan ke atas eksport komoditi pada mulanya menaikkan sentimen pasaran tetapi keuntungan kemudiannya bertukar apabila kebimbangan terhadap permintaan eksport yang lebih lemah muncul semula.
“Kami melihat harga disokong melebihi paras RM4,500 dan rintangan pada RM4,680,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak Jun 2026 turun RM25 kepada RM4,515 setan, Julai 2026 susut RM15 kepada RM4,556 setan dan Ogos 2026 merosot RM2 kepada RM4,583 setan.
Sementara itu, kontrak September 2026 meningkat RM12 kepada RM4,601 setan, Oktober 2026 menambah RM23 kepada RM4,619 setan dan November 2026 naik RM29 kepada RM4,638 setan.
Jumlah dagangan menokok kepada 164,144 lot daripada 121,452 lot, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 283,536 kontrak berbanding 284,125 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Selatan Mei ialah RM30 lebih rendah pada RM4,550 setan.
-- BERNAMA