Kerjaya Prospek Dapat Kontrak RM102.56 Juta Di Pulau Andaman
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd telah memperoleh dua kontrak bernilai RM102.56 juta untuk kerja-kerja pembinaan di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM) telah menerima kontrak bernilai RM69.55 juta daripada Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) untuk pelaksanaan dan penyiapan kerja-kerja bangunan di Seksyen 2, Pulau Andaman.
PMSB merupakan anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd.
Kontrak itu bermula pada 1 Ogos 2026 dan dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun. Ia melibatkan pembinaan 28 unit rumah teres tiga tingkat serta 18 unit rumah berkembar tiga tingkat.
Secara berasingan, KPM juga memperoleh kontrak RM33.01 juta daripada PMSB untuk kerja cerucuk dan kerja tanah bagi cadangan pembangunan pangsapuri perkhidmatan di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Andaman.
Kontrak itu meliputi sistem cerucuk asas dan penutup cerucuk, pembinaan bawah tanah, dua aras tanah yang lebih rendah termasuk tapak yang berkaitan serta kerja-kerja tanah untuk cadangan blok pangsapuri servis 53 tingkat dengan satu aras bawah tanah.
Kerja-kerja itu akan bermula pada 1 Julai 2026 dan siap dalam tempoh setahun.
Kedua-dua kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2028, di samping meningkatkan lagi tempahan dalam tangan sedia ada.
Kontrak berkenaan telah dilaksanakan dalam urusan perniagaan seharian mengikut terma komersial biasa.
-- BERNAMA