BERITA TERKINI   Sasterawan Negara A. Samad Said meninggal dunia di HKL pada 6.10 petang tadi - Anak | 

MOF Unjur Kutipan Cukai Langsung Bersih RM199 Bilion Tahun Depan -- LHDN

 

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) mengunjurkan kutipan cukai langsung bersih kira-kira RM199 bilion pada 2027 dengan pertumbuhan kutipan sekitar enam peratus setahun berdasarkan perkembangan ekonomi dan industri, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ad Banner

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN Rosnita Ahmad berkata unjuran ini bukan angka yang bersifat statik kerana prestasi kutipan boleh disemak berdasarkan perkembangan semasa.

Beliau memberitahu, unjuran kutipan bersih LHDN bagi tahun ini telah disemak semula daripada RM187 bilion kepada RM191 bilion sebelum mengambil kira bayaran balik cukai.

“Kalau kita tengok aliran LHDN menetapkan satu KPI, peningkatannya sekitar enam peratus. Jadi kita akan naikkan sekitar enam peratus kerana kadar pertumbuhan itu sejajar dengan keperluan yang kita ada untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Untuk rekod, kutipan cukai langsung kasar LHDN bagi tempoh 10 bulan pertama 2026 (Januari hingga Oktober) meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion daripada RM164.92 bilion dalam tempoh yang sama pada 2025.

Mengulas lanjut, Rosnita memaklumkan empat sektor utama yang dipantau LHDN dalam menetapkan unjuran kutipan ialah minyak dan gas, pembangunan hartanah, pembuatan serta perkhidmatan.

Katanya LHDN turut bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia dengan mengambil kira laporan suku tahunan dan perkembangan setiap sektor dalam menentukan sasaran kutipan.

“Apabila LHDN hendak menetapkan satu pencapaian KPI, memang kita akan tengok aliran industri yang berbeza. Minyak dan gas yang utama, pembangunan hartanah, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau menjelaskan sektor pembangunan hartanah terus menunjukkan perkembangan walaupun berdepan kesan konflik Asia Barat manakala industri minyak dan gas terkesan daripada perubahan harga minyak serta peningkatan kos.

Beliau berkata aktiviti huluan minyak dan gas menunjukkan peningkatan kutipan yang membantu mengimbangi kesan kepada aktiviti hiliran dan dalam tempoh sama sektor pembuatan turut mencatat penurunan tetapi kembali menunjukkan peningkatan selepas keadaan konflik Asia Barat mula reda.

Sementara itu, menurut Rosnita LHDN akan terus melihat aliran setiap industri bagi memastikan sasaran kutipan yang ditetapkan bersesuaian dengan perkembangan ekonomi.

“Sasaran itu perlu dilihat secara keseluruhan kerana Malaysia mempunyai sistem cukai langsung dan tidak langsung yang masing-masing dikendalikan LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa usaha meningkatkan hasil turut melibatkan pelaksanaan e-Invois, Cukai Minimum Global, aktiviti pematuhan, audit dan siasatan serta tadbir urus cukai korporat.

Katanya, LHDN juga mengunjurkan pelaksanaan e-Invois dapat membantu mengesan aktiviti ekonomi bayangan (perniagaan tidak berdaftar dan tidak berlesen) yang sebelum ini tidak membayar cukai.

“Dalam masa dua tiga tahun akan datang, implikasi e-Invois kepada kutipan dan aliran kita akan dapat dilihat sejajar dengan peningkatan KDNK,” katanya.

Rosnita berkata matlamat meningkatkan kutipan hasil bukan semata-mata untuk menambah jumlah cukai, sebaliknya memastikan rakyat memahami manfaat daripada hasil yang disalurkan kepada kerajaan.

Menurutnya, pendidikan mengenai cukai perlu dimulakan lebih awal supaya rakyat memahami bahawa hasil cukai digunakan untuk membiayai sekolah, hospital, jalan raya dan kemudahan awam lain.

-- BERNAMA