BERITA TERKINI   Amaran hujan berterusan di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan hingga 27 Nov -MetMalaysia | Kerajaan Turkiye tidak bersedia terima pelarian Rohingya - PM Anwar | Petronas Chemicals kembali catat untung pada suku ketiga, dengan keuntungan bersih RM179 juta | Perak umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri - Menteri Besar | Perak bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM1.693 bilion, merangkumi RM1.1 bilion perbelanjaan mengurus dan RM593 juta pembangunan | 

Momentum IPO Malaysia Dijangka Kekal Positif Pada 2027, 49 Syarikat Kemuka Permohonan – Deloitte

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Prospek tawaran awam permulaan (IPO) di Malaysia kekal positif menjelang 2027, dengan sebanyak 49 syarikat telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa kawal selia, menurut Deloitte Malaysia.

Rakan Kongsi Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte Malaysia Wong Kar Choon berkata jumlah itu berdasarkan semakan terbaharu beliau terhadap laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia pada 23 Nov, melibatkan syarikat yang sedang melalui proses kelulusan dan penilaian.

“Berdasarkan perkembangan itu, saya melihat terdapat sejumlah syarikat yang sedang dalam proses menuju ke arah penyenaraian IPO, tidak termasuk syarikat yang masih belum mengemukakan permohonan.

Ad Banner

“Justeru, saya optimis terhadap prospek pasaran IPO Malaysia pada 2027,” katanya pada sidang media maya IPO Asia Tenggara Deloitte 2026 hari ini.

Wong berkata syarikat yang berhasrat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada tanggungjawab selepas penyenaraian, termasuk memastikan pelaporan kewangan yang mantap dan amalan tadbir urus korporat yang baik bagi mengekalkan penilaian syarikat serta keyakinan pelabur.

Beliau berkata permintaan tinggi terhadap IPO tidak semestinya menjamin pulangan yang mampan kerana syarikat perlu terus mencatatkan prestasi kewangan positif selepas disenaraikan.

Ad Banner
Ad Banner

Prospek positif itu disokong oleh prestasi pasaran IPO Malaysia yang berdaya tahan dalam tempoh 10 setengah bulan pertama 2026, dengan sebanyak 57 IPO berjaya mengumpul dana kira-kira US$1.8 bilion, meningkat 24 peratus berbanding 2025.

Prestasi itu turut meletakkan Malaysia sebagai pasaran pengumpulan dana IPO terbesar di Asia Tenggara dalam tempoh berkenaan.

Wong berkata perkembangan itu mencerminkan peralihan ke arah penyenaraian berskala lebih besar dan berkualiti tinggi, dengan purata saiz urus niaga IPO meningkat 29 peratus kepada kira-kira US$31 juta tahun ini.

Menurut penilaian Deloitte, sektor sains hayat dan penjagaan kesihatan merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah dana yang dikumpul, iaitu kira-kira US$865 juta menerusi dua penyenaraian, masing-masing Sunway Healthcare Holdings Bhd dan Big Caring Group Bhd.

Sektor pengguna pula merekodkan jumlah penyenaraian tertinggi, iaitu 22 IPO dengan kutipan US$392 juta, diikuti sektor produk perindustrian yang mencatatkan 18 IPO dengan jumlah dana terkumpul sebanyak US$313 juta.

“Pelabur melihat saham dalam sektor penjagaan kesihatan sebagai sektor pertumbuhan berikutan beberapa pemacu utama pada masa hadapan, termasuk peningkatan populasi warga emas, akses kepada perkhidmatan perubatan di Malaysia, pertambahan golongan kelas pertengahan serta kemampuan mereka mendapatkan dan membiayai perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, selain perkembangan pelancongan perubatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte Asia Tenggara Tay Hwee Ling berkata rantau Asia Tenggara merekodkan 89 IPO dengan jumlah dana terkumpul sebanyak US$5.1 bilion setakat 20 Nov 2026, berdasarkan aktiviti pasaran sepanjang 10 setengah bulan pertama tahun ini.

Malaysia, Singapura dan Vietnam secara kolektif menyumbang kira-kira 78 peratus daripada keseluruhan dana yang dikumpul, dengan Singapura berada di tempat kedua menerusi kutipan US$1.3 bilion, manakala Filipina menyumbang 19 peratus lagi, terutamanya dipacu oleh penyenaraian berskala besar Mynt Inc (GCash).

“Saya berpendapat bahawa kami optimis secara berhati-hati kerana terdapat aktiviti memberangsangkan yang diperhatikan di bursa utama di seluruh Asia Tenggara.

“Apa yang penting pada masa hadapan ialah penilaian IPO yang realistik. Ia perlu memberikan situasi menang-menang kepada syarikat dan pelabur menerusi kisah ekuiti yang meyakinkan mengenai perniagaan berkenaan, selain keupayaan syarikat untuk terus mencapai prestasi seperti yang dijanjikan dalam prospektus selepas disenaraikan,” katanya.

-- BERNAMA