Koridor Pembangunan Sabah Akan Laksana Kajian Separuh Penggal Pada Awal 2027
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Koridor Pembangunan Sabah (SDC) akan menjalankan kajian separuh penggal pada awal 2027 bagi memperkukuh pelaksanaan SDC Blueprint 2.0, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata Kementerian Ekonomi telah meminta Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) mengadakan sesi libat urus dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen Sabah bagi mendapatkan pandangan mereka untuk dipertimbangkan dalam kajian berkenaan.
“SDC sedang merangka untuk membuat semakan separuh tahun pelaksanaan iaitu 10 tahun, pada awal 2027.
“Saya telah mengarahkan mereka bertemu dengan semua ADUN di Sabah dan Ahli Parlimen Sabah tanpa mengira latar belakang, parti politik untuk melibat urus supaya kita dapat tahu bukan hanya di peringkat daerah tetapi juga di peringkat lokaliti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud) mengenai penetapan KPI bagi setiap inisiatif SDC serta cadangan penubuhan lembaga kemajuan wilayah di Sabah bagi memperluas peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.
Mohd Shahar berkata keberkesanan SDC tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah pelaburan yang diluluskan, nilai geran yang disalurkan atau bilangan projek yang dilaksanakan.
“SDC Blueprint 2.0 yang bermula pada 2021 dan akan berakhir pada 2030 telah menetapkan 14 indikator, termasuk sasaran mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah, selain menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan perolehan tempatan.
“Jika kita lihat indikator kadar kemiskinan, pada 2019, kadarnya ialah 19.5 peratus, manakala pada 2026, ia turun kepada lima peratus. Kita menjangkakan di bawah indikator SDC yang telah ditetapkan, kadar kemiskinan akan kekal pada paras lima peratus menjelang 2030,” katanya.
Mengenai cadangan penubuhan lembaga kemajuan wilayah di Sabah, beliau berkata perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh dari segi keperluan sebenar, skop fungsi, model takdir urus, implikasi kewangan agar dapat mengelakkan pertindihan dengan agensi sedia ada.
“Sebarang pertimbangan untuk membiayai penubuhan lembaga kemajuan wilayah yang diterajui oleh negeri mesti melalui kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Keutamaan kerajaan pada hari ini adalah untuk mengoptimumkan penggunaan agensi dan jentera pelaksanaan sedia ada. Kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak SEDIA dan agensi pengeluar bandar akan diperkukuh bagi memastikan penyampaian inisiatif bukan sahaja sehingga ke peringkat negeri atau daerah tetapi sehingga ke peringkat komuniti dan lokaliti,” katanya.
Sabah merupakan antara enam negeri yang dikategorikan sebagai negeri kurang membangun.
Kerajaan memperuntukkan sekitar 40 hingga 46 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan kepada enam negeri berkenaan, manakala Sabah dan Sarawak menerima sekitar 13 hingga 15 peratus peruntukan DE dalam setiap Rolling Plan.
Menjawab soalan asal Isnaraissah Munirah, beliau berkata Sabah mencatat kadar kemiskinan mutlak tertinggi di Malaysia sebanyak 17.7 peratus pada 2024 berbanding purata nasional 5.1 peratus, namun kadar kemiskinan tegar turun kepada 0.73 peratus pada 2024 daripada 1.2 peratus pada 2022.
“Pada masa yang sama, pendapatan Purata Isi Rumah Anak Negeri Sabah meningkat daripada RM5,087 pada 2019 kepada RM5,836 pada 2024. Ini menunjukkan bahawa kemajuan telah tercapai tetapi jurang ketaksamarataan masih wujud,” katanya.
Mengenai anjakan struktur hiliran sumber asli, Mohd Shahar berkata RMK13 menekankan peralihan kepada industri pertumbuhan bernilai tinggi bagi Sabah dengan tumpuan diberikan kepada aktiviti hiliran dalam sektor agromakanan, perikanan, ekonomi biru, pelancongan, ekonomi digital dan tenaga boleh baru.
Secara keseluruhan, bagi tempoh Januari 2023 hingga Jun 2026 Sabah merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM39.2 bilion melibatkan 475 projek yang telah mewujudkan 6,646 peluang pekerjaan baru, katanya.
Beliau berkata RMK13 turut memperuntukkan RM97 juta bagi program pembangunan sosioekonomi Anak Negeri Sabah, selain melaksanakan projek pembangunan hab pengeluaran makanan, hab ekonomi biru dan hab perikanan bersepadu serta memperluas Pelabuhan Kontena Sapangar Bay dan Kota Kinabalu Industrial Park.
Soalan asal Isnaraissah Munirah meminta Menteri Ekonomi menyatakan usaha mengatasi kemiskinan di Sabah termasuk pelan anjakan struktur konkrit Kementerian untuk membangunkan rantaian nilai hiliran sumber asli di Sabah dan cadangan menyemak semula formula pengagihan bantuan mengikut kos logistik wilayah.
— BERNAMA