BERITA TERKINI   Institusi madrasah, maahad dan tahfiz perlu diperkasa bagi mempertahankan akidah, akhlak dan jati diri umat Islam – PM Anwar | KLCC Property Holdings Bhd catat keuntungan bersih RM203.87 juta pada Suku Ketiga Tahun Kewangan 2026 | 

Jualan Kenderaan Diunjur Berkembang 2.2 Peratus Pada 2026 - CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus dalam jualan kenderaan baharu di Malaysia yang juga dikenali sebagai jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 815,000 unit pada 2026.

Angka itu lebih tinggi sedikit berbanding jangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 800,000 unit.

Firma pembrokeran saham itu memaklumkan bahawa aktiviti promosi dijangka kekal rancak dalam kalangan pengeluar kenderaan nasional dan bukan nasional pada suku keempat tahun ini, memandangkan pengeluar berusaha untuk mempertahankan bahagian pasaran serta menguruskan inventori menjelang hujung tahun.

Ad Banner

“Sebagai contoh, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah meningkatkan insentif bagi model-model pasaran massa tertentu pada November dan Disember 2026, dengan menawarkan rebat antara RM1,500 hingga RM7,500 bersamaan dengan kira-kira tiga hingga 10 peratus daripada harga senarai semasa,” menurut CIMB Securities dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Toyota dan Honda juga menawarkan diskaun yang tinggi, dengan rebat antara tiga hingga 15 peratus daripada harga senarai.

Walaupun promosi agresif itu dijangka menyokong TIV yang kukuh pada suku keempat, momentum jualan yang lebih kuat mungkin tidak diterjemahkan kepada peningkatan yang sepadan dalam pendapatan sektor tersebut, ia kerana persaingan harga semakin sengit serta insentif promosi lebih tinggi boleh menjejaskan margin keuntungan pengeluar kenderaan, menurut CIMB Securities.

Ad Banner
Ad Banner

Firma pembrokeran itu yang mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor automotif menyatakan bahawa antara pemangkin yang berpotensi bagi sektor ini termasuk pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun, penurunan kadar faedah serta dasar kerajaan yang menyokong industri berkenaan.

“Risiko penurunan terhadap unjuran kami termasuk penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS dan yen Jepun, kadar faedah yang dijangka naik, akses kredit lebih ketat daripada institusi kewangan serta penyusutan margin berikutan persaingan pasaran yang semakin sengit,” menurut kenyaataan itu.

-- BERNAMA