Rakyat Terus Dilindungi Daripada Kejutan Ekonomi Global Melalui Pelbagai Inisiatif Kerajaan
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Rakyat masih dapat menikmati kestabilan harga dan dilindungi daripada kejutan ekonomi global menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan meskipun negara berdepan cabaran ekonomi global paling serius sejak krisis kewangan 2008.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata kerajaan melaksanakan kawalan harga bahan api RON95 dan diesel menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi melindungi rakyat daripada kenaikan harga, selain menjaga kedudukan fiskal negara dengan menangani ketirisan subsidi.
“Sebenarnya, tahun ini merupakan ujian besar kepada ekonomi negara kita. Walaupun ekonomi dunia mengalami kejutan paling serius sejak krisis kewangan global pada 2008 tetapi negara berada dalam keadaan yang rakyat (berasa) selesa, dengan harga (barangan) tidak terlalu terjejas.
“Langkah-langkah yang dilaksanakan terutamanya BUDI 95 adalah memastikan rakyat dilindungi daripada kejutan kenaikan harga bahan api dunia dan memastikan tiada ketirisan dalam sistem,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai kemampuan kerajaan untuk meneruskan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat, pada masa yang sama memenuhi komitmen pembayaran hutang negara serta sama ada kerajaan mempertimbangkan cadangan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Mengenai GST, Liew berharap lebih ramai Ahli Parlimen membahaskan idea dan cadangan pelaksanaan semula GST dengan meneliti rasional dan keperluan di sebalik pemilihan sesuatu sistem percukaian.
“Yang pentingnya, kita mesti meninjau dalam sistem kita, kenapa kita melaksanakan satu sistem percukaian.
“Sistem semasa melibatkan 130,000 syarikat untuk mengutip Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi pihak kerajaan manakala GST, jika dilaksanakan memerlukan 900,000 syarikat untuk mengutip GST bagi pihak kerajaan. Ini satu perbandingan dan ada banyak lagi perbandingan yang saya harap ini boleh dibahaskan,” katanya.
Menjawab soalan asal, Liew berkata dalam menilai sama ada pertumbuhan ekonomi negara benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat, perkara utama yang perlu dilihat bukan sekadar berapa pesat ekonomi berkembang tetapi sejauh mana pertumbuhan tersebut meningkatkan pendapatan sebenar rakyat, memperkukuh kuasa beli dan menambah baik taraf kehidupan isi rumah.
Mohd Sany meminta Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan sejauh mana prestasi ekonomi makro negara dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat dalam kehidupan seharian serta tindakan susulan kerajaan.
Katanya bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diterjemahkan dengan lebih menyeluruh kepada kehidupan rakyat, kerajaan menumpukan tindakan kepada lima bidang utama antaranya meningkatkan pendapatan sebenar rakyat serta melindungi kuasa beli dan baki pendapatan isi rumah.
Menjawab soalan tambahan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok), Liew berkata bantuan kerajaan merupakan antara saluran untuk menterjemahkan pertumbuhan ekonomi kepada kesejahteraan rakyat, namun peningkatan gaji dan pertumbuhan syarikat lebih dinamik adalah faktor paling penting.
“Kerajaan telah melaksanakan kenaikan gaji minimum manakala syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan meningkatkan gaji wajar daripada RM3,100 kepada RM3,400.
“Namun, yang penting ialah kita mesti mewujudkan syarikat yang lebih dinamik dan memastikan syarikat membayar gaji yang lebih wajar dan tinggi supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat perkembangan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Mohd Syahir memetik laporan Khazanah Research Institute baru-baru ini yang menunjukkan bagi isi rumah dalam kumpulan 10 peratus terbawah, pendapatan perbelanjaan kepenggunaan mereka meningkat 21 peratus sejak tempoh 2019-2024, meninggalkan baki hanya 1.8 peratus daripada pendapatan kasar.
Mohd Syahir dalam soalan tambahannya meminta penjelasan sama ada keadaan itu menunjukkan bantuan tunai dan subsidi kerajaan masih belum mencukupi serta strategi MOF untuk memperbaiki kedudukan kewangan golongan berpendapatan rendah itu.
-- BERNAMA