BERITA TERKINI   Malaysia meterai perjanjian dengan Perancis bagi perolehan empat helikopter Mencari dan Menyelamat Tempur untuk TUDM - Khaled Nordin | Malaysia dan Perancis setuju tingkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik - Macron | Malaysia dan Perancis akan melancarkan pusat bersama bagi menangani ancaman hibrid - Macron | Malaysia dan Perancis jalin kerjasama dalam bidang pemprosesan mineral kritikal, pemindahan teknologi - Anwar | Anwar puji Macron kerana ambil kira kebimbangan Malaysia serta mengiktiraf negara ini sebagai rakan kongsi setara | 

APEC Gariskan Empat Keutamaan Bagi Perkukuh Daya Tahan Ekonomi Serantau

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 17 Nov (Bernama) -- Rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memperkukuh tindakan dasar yang diselaraskan bagi mendepani pelbagai tekanan ekonomi, termasuk kenaikan harga tenaga, perpecahan geopolitik dan keadaan kewangan yang mencabar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman webnya hari ini, APEC menggariskan empat bidang dasar utama untuk membantu ekonomi menguruskan ketidaktentuan jangka pendek selain memperkukuh asas kemakmuran bersama.

Ad Banner
Ad Banner

Pertama, ia menggesa pelaksanaan gabungan dasar yang berdaya maju dan berkesan, dengan dasar monetari memberi tumpuan kepada usaha membendung inflasi dan mengekalkan jangkaan inflasi.

“Dasar fiskal perlu memberi keutamaan kepada konsolidasi selain menyediakan sokongan bersasar dan bersifat sementara kepada kumpulan yang paling terjejas oleh kenaikan kos sara hidup,” menurutnya.

Menurut APEC, memperkukuh penggemblengan hasil dan mengekalkan perbelanjaan berdisiplin juga dapat membantu memastikan hutang awam berada pada landasan yang lebih mampan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kedua, ekonomi perlu mempelbagaikan pelaburan dan sumber tenaga untuk mengurangkan pendedahan kepada turun naik harga dan gangguan bekalan.

“Walaupun pelaburan dalam teknologi baharu menawarkan peluang untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan, ekonomi perlu memperluas pelaburan melangkaui sektor ini untuk membangunkan asas pemacu pertumbuhan yang lebih luas,” menurutnya.

Mempelbagaikan sumber tenaga juga dapat memperkukuh keselamatan tenaga dalam ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran.

Ketiga, APEC menekankan keperluan untuk memperkukuh persekitaran perdagangan dengan memperluas rakan dagangan, meningkatkan campuran barangan dan perkhidmatan yang dieksport serta mendapatkan laluan bekalan alternatif untuk mengurangkan kebergantungan pada pasaran dan rantaian bekalan tertentu.

“Mengekalkan pasaran terbuka dan stabil, selain mengurangkan sekatan perdagangan yang tidak perlu, dapat membantu perniagaan mendepani ketidaktentuan dan mengekalkan perdagangan serantau,” menurutnya.

Keempat, APEC menekankan kepentingan memperkukuh hubungan pelbagai hala untuk mengekalkan dialog dalam keadaan perpecahan ekonomi yang meningkat.

“APEC memainkan peranan penting dalam menggalakkan pasaran terbuka untuk barangan dan bekalan kritikal serta kerjasama praktikal dalam menangani cabaran bersama,” menurutnya.

Menurut APEC, kerjasama yang lebih erat akan membantu ekonomi berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan dasar, memperkukuh jaringan rantaian bekalan dan memastikan manfaat daripada kemajuan teknologi dapat dinikmati secara lebih meluas.

Selain itu, prospek ekonomi rantau ini bukan sahaja bergantung pada keupayaannya untuk menghadapi kejutan ekonomi, malah sejauh mana keberkesanannya dalam membuat persediaan untuk fasa perubahan global yang seterusnya.

Pelaburan berteraskan teknologi berpotensi menjadi pemacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi tetapi manfaatnya adalah secara tidak automatik mahupun menyeluruh.

Ekonomi anggota APEC dapat mengurus ketidaktentuan jangka pendek dengan lebih baik selain memperkukuh asas ke arah kemakmuran bersama dengan mengekalkan kestabilan makroekonomi, mempelbagaikan sumber pertumbuhan, memperkukuh hubungan perdagangan dan meningkatkan kerjasama serantau.

Pertumbuhan ekonomi rantau ini diunjurkan mencapai 3.4 peratus pada 2026, meningkat daripada unjuran awal sebanyak 3.2 peratus, disokong oleh pelaburan dalam sektor teknologi yang kukuh dan aktiviti perdagangan yang lebih baik.

Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka sederhana kepada 3.1 peratus pada 2027 dalam keadaan cabaran ekonomi yang meningkat, termasuk harga tenaga yang lebih tinggi, ketegangan geopolitik, ketidaktentuan dasar perdagangan dan keadaan kewangan yang mencabar.

Inflasi di rantau APEC diunjurkan meningkat kepada 3.2 peratus pada 2026 sebelum menurun kepada 2.8 peratus pada 2027 dan 2.5 peratus pada 2028.

-- BERNAMA