Shell Mulakan Pengeluaran Gas Pertama Daripada Medan Gas Rosmari-Marjoram
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Sarawak Shell Bhd (SSB), anak syarikat Shell plc (Shell) telah mengeluarkan gas pertamanya daripada medan gas Rosmari dan Marjoram yang terletak 220 kilometer dari pesisir pantai Sarawak.
Menurut syarikat itu, gas yang dihasilkan daripada medan Rosmari-Marjoram akan disalurkan melalui paip ke loji gas darat baharu di Bintulu, Sarawak untuk diproses sebelum disalurkan ke Kompleks LNG Petronas.
Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Siti Sulaiman berkata permulaan pengeluaran gas daripada medan Rosmari-Marjoram adalah pencapaian penting bagi Shell di Malaysia dan mencerminkan kerjasama erat yang terjalin antara syarikat itu dengan Petronas, kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
“Kami kekal komited untuk membantu memenuhi keperluan tenaga Malaysia yang semakin meningkat dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara menerusi pelaburan yang berdaya saing dan berdaya tahan,” menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden Huluan Shell Peter Costello berkata syarikat itu berbangga dengan rekod penglibatan dan kejayaannya selama ini di Malaysia.
“Kami mempunyai kepakaran yang kukuh dalam lembangan ini, dan permulaan operasi Rosmari-Marjoram menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran sehingga 2030-an,” katanya.
Platform luar pesisir Rosmari-Marjoram menggunakan tenaga daripada panel solar, dengan penjana diesel sebagai sumber kuasa sandaran apabila diperlukan.
Loji darat itu pula menggunakan bekalan elektrik daripada grid tempatan yang sebahagian besarnya berasaskan tenaga hidro, yang dilengkapi dengan sijil tenaga boleh baharu bagi memastikan penggunaan 100 peratus tenaga elektrik boleh baharu.
Shell menggerudi telaga minyak pertama di Malaysia pada 1910 dan telah mengeluarkan gas dari kawasan luar pesisir sejak 1982.
Selain Rosmari-Marjoram, Shell mempunyai kepentingan dalam beberapa medan pengeluaran sedia ada di luar pesisir Sarawak termasuk Timi dan Gorek serta sedang meneroka peluang berpotensi lain dalam lembangan itu.
-- BERNAMA