BERITA TERKINI   Malaysia dan Perancis setuju tingkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik - Macron | Malaysia dan Perancis akan melancarkan pusat bersama bagi menangani ancaman hibrid - Macron | Malaysia dan Perancis jalin kerjasama dalam bidang pemprosesan mineral kritikal, pemindahan teknologi - Anwar | Anwar puji Macron kerana ambil kira kebimbangan Malaysia serta mengiktiraf negara ini sebagai rakan kongsi setara | Malaysia, Perancis akan rangka pelan hala tuju kerjasama industri pertahanan – Macron | 

KDNK Suku Ketiga Dijangka Kekal 5.3 Peratus - Akmal Nasrullah

PUTRAJAYA, 17 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku ketiga 2026 dijangka kekal pada 5.3 peratus, selaras dengan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata anggaran berkenaan dibuat berdasarkan unjuran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga yang akan diumumkan DOSM esok.

“Setakat ini, seperti yang kita unjurkan, anggaran awal pertumbuhan ekonomi bagi suku ketiga adalah pada 5.3 peratus.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, jika diteliti semula dapatan sebelum ini, apabila kita membuat anggaran awal itu juga, terdapat beberapa perkara berkaitan maklumat atau data yang belum disempurnakan sepenuhnya.

“Oleh itu, saya menjangka unjuran untuk esok, jika tidak sama, insya-Allah (perbezaan itu) okey lagilah sikit,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata berdasarkan pengumuman terdahulu, anggaran awal DOSM lazimnya tidak jauh berbeza daripada angka sebenar, selain mengambil pendekatan yang berasaskan keadaan ekonomi semasa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sebelum ini, anggaran awal DOSM menunjukkan ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini dan KDNK negara bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 setakat ini dilaporkan mencecah 5.5 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang berterusan perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, termasuk melalui penambahbaikan struktur gaji.

Katanya kerajaan bukan sahaja perlu memastikan gaji minimum dinaikkan, malah perlu menangani isu ‘wage compression’, khususnya apabila peningkatan gaji pekerja separa mahir dan mahir tidak berlaku pada kadar yang sepadan.

Akmal Nasrullah berkata kerajaan telah menetapkan gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 pada 2027, namun struktur gaji secara keseluruhannya perlu diberi perhatian bagi memastikan peningkatan produktiviti turut diterjemahkan kepada pendapatan pekerja.

“Cabarannya sudah pasti adalah bagaimana masalah ‘wage compression’ atau gaji pada peringkat separa mahir dan mahir ini yang mungkin tidak berlaku kenaikan sepertimana data yang ditunjukkan oleh Bank Negara sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengumumkan pengenalan gaji permulaan graduan dalam Belanjawan 2027, dengan kaedah pelaksanaannya perlu mengambil kira kemahiran, tanggungjawab dan jenis pekerjaan yang dilakukan.

Katanya langkah itu penting bagi memastikan struktur gaji negara berkembang dengan lebih tersusun dan tidak hanya bergantung pada peningkatan gaji minimum.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi perlu disertai dengan peningkatan produktiviti dan pengagihan pendapatan yang lebih baik supaya manfaat pertumbuhan itu dapat dirasai oleh rakyat.

-- BERNAMA