BERITA TERKINI   Malaysia dan Perancis setuju tingkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik - Macron | Malaysia dan Perancis akan melancarkan pusat bersama bagi menangani ancaman hibrid - Macron | Malaysia dan Perancis jalin kerjasama dalam bidang pemprosesan mineral kritikal, pemindahan teknologi - Anwar | Anwar puji Macron kerana ambil kira kebimbangan Malaysia serta mengiktiraf negara ini sebagai rakan kongsi setara | Malaysia, Perancis akan rangka pelan hala tuju kerjasama industri pertahanan – Macron | 

Ringgit Dibuka Tinggi Sedikit Menjelang Pengumuman Data KDNK Suku Ketiga

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi dan Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2026 yang dijadualkan esok.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0910/0970 berbanding dolar AS daripada 4.0915/0960 semasa ditutup pada Isnin.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi negara dijangka mencatat pertumbuhan antara 5.4 peratus hingga 5.5 peratus, meningkat sedikit berbanding anggaran awal sebanyak 5.3 peratus.

“Jika begitu keadaannya, ini boleh meningkatkan kemungkinan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2027, yang seterusnya akan menyumbang kepada pengukuhan ringgit pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas perkembangan luaran, Mohd Afzanizam berkata, kemungkinan kepada kenaikan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) boleh melebarkan jurang perbezaan kadar faedah antara Amerika Syarikat (AS) dengan ekonomi utama lain, sekali gus menyokong pengukuhan dolar AS.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Jangkaan kenaikan sebanyak 50 mata asas dilihat sebagai pemangkin utama kepada pengukuhan dolar AS.

“Oleh itu, tempoh menjelang mesyuarat FOMC pada 8 dan 9 Disember dijangka menyaksikan dolar AS terus mengukuh,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan gandingan ringgit-dolar AS diniagakan dalam lingkungan RM4.08 hingga RM4.10 hari ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.4993/5059 daripada 4.5039/5089 semasa ditutup pada Isnin, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3936/4015 daripada 5.3955/4014, namun menyusut sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.5646/5685 daripada 2.5638/5666.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1735/1784 daripada 3.1737/1772 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.0693/0934 daripada 12.0576/0755.

Ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 223.9/224.3 dan peso Filipina pada 6.40/6.41.

-- BERNAMA