BERITA TERKINI   Malaysia dan Perancis setuju tingkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik - Macron | Malaysia dan Perancis akan melancarkan pusat bersama bagi menangani ancaman hibrid - Macron | Malaysia dan Perancis jalin kerjasama dalam bidang pemprosesan mineral kritikal, pemindahan teknologi - Anwar | Anwar puji Macron kerana ambil kira kebimbangan Malaysia serta mengiktiraf negara ini sebagai rakan kongsi setara | Malaysia, Perancis akan rangka pelan hala tuju kerjasama industri pertahanan – Macron | 

Malaysia Muncul Sebagai Destinasi Pelaburan Utama Sektor Nilai Tinggi -- Citi Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Malaysia semakin dilihat sebagai destinasi pelaburan utama untuk sektor bernilai tinggi, disokong oleh pengembangan dalam ekonomi digital dan keupayaan teknologinya selain usaha berterusan bagi mengukuhkan daya saingnya.

Ketua Pasaran Citi Malaysia Ng Hooi Wan berkata sentimen pelabur global terhadap Malaysia dilihat bertambah kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan negara semakin memikat sebagai lebih daripada sekadar destinasi pembuatan.

"Memandangkan syarikat mempelbagaikan rantaian bekalan dan menggunakan modal di seluruh ASEAN, Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang lebih menonjol," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Hari ini fokus bukan ke arah minat pelabur untuk melabur tetapi menjurus kepada seberapa cepat projek boleh dilaksanakan dan dipertingkatkan.

Kemajuan berterusan dalam infrastruktur, penyelarasan kawal selia dan kemudahan menjalankan perniagaan akan menjadi kunci bagi mengekalkan momentum ini, jelasnya.

Ng membuat kenyataan itu semasa seminar tinjauan ekonomi Citi Malaysia, bertemakan "Malaysia pada Titik Infleksi: Pertumbuhan, Pembaharuan dan Peluang" yang diadakan baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Acara itu menghimpunkan eksekutif korporat kanan, pelabur dan peserta pasaran untuk membincangkan bagaimana kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital serta pembuatan termaju boleh memacu pertumbuhan Malaysia.

Ketua Ekonomi Citi ASEAN, Kit Wei Zheng berkata cabaran berkaitan AI dalam segmen eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama untuk Malaysia dan negara serantau.

Beliau berkata daya tahan eksport dan usaha merealisasikan kelulusan pelaburan awal seharusnya mengimbangi pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan, khususnya dalam sektor E&E, manakala saluran aliran FDI berkaitan pusat data dan momentum pelaburan yang kukuh di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh memberikan rangsangan  kepada perbelanjaan modal.

"Data terkini menunjukkan limpahan yang ada mungkin mula meluas, di tengah-tengah peningkatan yang lebih ketara dalam pertumbuhan upah pembuatan, penurunan baharu dalam kadar pengangguran dan lonjakan dalam permintaan buruh.

"Perbelanjaan pengguna terus berkurangan hingga Ogos, walaupun ia berpotensi stabil pada masa hadapan," katanya.

Pada majlis itu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kiang Ming mencadangkan agar Malaysia menumpukan usaha untuk mencipta nilai ekonomi yang lebih besar melalui inovasi, penggunaan teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta bukannya bersaing dengan kos semata-mata.

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk memastikan pelaburan menjana pekerjaan bernilai tinggi, mengukuhkan keupayaan domestik dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, menonjolkan peluang yang timbul daripada beberapa industri yang berkembang pesat.

 

-- BERNAMA