BERITA TERKINI   Malaysia dan Perancis setuju tingkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik - Macron | Malaysia dan Perancis akan melancarkan pusat bersama bagi menangani ancaman hibrid - Macron | Malaysia dan Perancis jalin kerjasama dalam bidang pemprosesan mineral kritikal, pemindahan teknologi - Anwar | Anwar puji Macron kerana ambil kira kebimbangan Malaysia serta mengiktiraf negara ini sebagai rakan kongsi setara | Malaysia, Perancis akan rangka pelan hala tuju kerjasama industri pertahanan – Macron | 

Potensi Kenaikan OPR Pada Mac 2027 Bakal Beri Kelegaan Sementara Kepada NIM Bank - CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Potensi kenaikan 25 mata asas (bps) Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mac 2027 boleh memberi kelegaan sementara kepada bank-bank yang berdepan tekanan terhadap margin faedah bersih (NIM), kata CIMB Securities Sdn Bhd.

Firma perkhidmatan kewangan itu memberitahu kenaikan kadar tersebut boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap NIM dengan meningkatkan pendapatan faedah bank walaupun tahap manfaatnya bergantung pada kos pembiayaan dan kadar pelarasan semula harga deposit.

“Pada pandangan kami, Public Bank berkemungkinan mencatat manfaat terbesar terhadap NIM dengan anggaran peningkatan NIM sebanyak kira-kira 4.0 bps pada tahun kewangan 2027 diikuti Hong Leong Bank (3.2 bps), Maybank (2.6 bps) dan RHB Bank (2.3 bps).

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam pada itu, Alliance Bank dan AmBank Group (AMMB) dijangka menikmati sebahagian besar manfaat berkenaan pada tahun kewangan 2028 dengan peningkatan NIM masing-masing sebanyak 3.4 bps dan 3.3 bps terutamanya disebabkan oleh tahun kewangan kedua-dua bank yang berakhir pada Mac,” menurut firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

CIMB Securities turut menyatakan bahawa walaupun kesan kenaikan OPR yang berpotensi itu terhadap pendapatan dijangka sederhana dengan pertumbuhan pendapatan yang diunjurkan antara 0.7 peratus hingga 2.8 peratus bagi tahun kewangan 2027 dan 2028, Public Bank dijangka menjadi penerima manfaat utama pada tahun kewangan 2027.

Jelasnya, peningkatan pendapatan Public Bank yang diunjurkan adalah sebanyak 2.3 peratus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Alliance Bank dan AMMB pula diunjurkan mencatat manfaat terbesar pada tahun kewangan 2028, masing-masing sebanyak 2.8 peratus dan 2.3 peratus.

Menurut CIMB Securities, Public Bank dan RHB Bank mempunyai antara profil penetapan semula kadar aset yang paling kukuh manakala Alliance Bank dan AMMB menonjol dari segi keupayaan yang lebih baik untuk mengekalkan keuntungan berkenaan.

“Kami mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor perbankan dengan memberi keutamaan kepada Public Bank, RHB Bank dan Hong Leong Bank,” jelas CIMB Securities.

Bagaimanapun, beberapa risiko penurunan yang berpotensi menjejaskan sektor perbankan termasuk peningkatan ketidaktentuan yang boleh mencetuskan tekanan jualan dalam pasaran bon global.

Ini sekali gus mendorong penetapan semula secara menyeluruh terhadap kadar faedah, mata wang dan hasil bon serta meningkatkan kerugian penilaian berdasarkan nilai pasaran ke atas pegangan sekuriti hutang bank.

-- BERNAMA