BERITA TERKINI   Ahmad Zahid cadang lanjut tempoh latihan PLKN kepada 90 hari atau 180 hari | Kerajaan kaji kaedah manfaatkan tenaga bekas pelatih PLKN sebagai sukarelawan bencana - TPM Ahmad Zahid | KEB Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dibuka mendatar pada 35 sen, dengan 9.51 juta saham diniagakan | 

APEC Gesa Pembangunan AI Selamat, Dipercayai Pacu Pertumbuhan Inklusif

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 16 Nov (Bernama) -- Ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu menggalakkan pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang selamat dan dipercayai selain memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara meluas, terutamanya dalam sektor utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan tenaga.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh APEC, perbincangan itu berlangsung pada Mesyuarat Penutup Pegawai-Pegawai Kanan (CSOM), yang menyaksikan China mengemukakan cadangan kenyataan mengenai ekonomi digital dan AI untuk kesejahteraan rakyat.

Ad Banner
Ad Banner

Cadangan itu menggesa penggunaan AI diperluas untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menangani risiko pembangunan teknologi yang tidak selamat dan jurang digital yang luas.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan APEC 2026 Duta Chen Xu berkata ekonomi anggota APEC telah menunjukkan keupayaan untuk mencapai titik persamaan meskipun berdepan cabaran ekonomi, dengan mesyuarat peringkat menteri dan acara peringkat tinggi menjana keputusan berasaskan konsensus.

Ini termasuk perjanjian meliputi pelbagai bidang, daripada tenaga dan keterjaminan makanan kepada pembangunan sumber manusia, pengangkutan dan kewangan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai perdagangan, pegawai kanan meneliti cadangan China berhubung Rangka Kerja Kerjasama Pendigitalan Perdagangan bagi tempoh 2027 hingga 2030 dan draf kenyataan mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), matlamat jangka panjang APEC ke arah integrasi ekonomi serantau.

“Cadangan kenyataan mengenai FTAAP menggariskan usaha pada masa depan mengenai penyelidikan dasar, pembinaan kapasiti dan kerjasama teknikal bagi membantu ekonomi anggota menyertai perjanjian perdagangan dengan standard tinggi secara lebih menyeluruh,” menurutnya.

Sementara itu, APEC memaklumkan perbincangan mengenai kesalinghubungan serantau turut termasuk semakan akhir Pelan Tindakan Kesalinghubungan APEC bagi tempoh 2015 hingga 2025 dan cadangan China untuk memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan hubungan serantau.

“Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) juga menekankan kepentingan untuk mengekalkan perdagangan dan pelaburan yang terbuka, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan membangunkan infrastruktur kesalinghubungan yang mampan serta sesuai dengan ekonomi digital,” menurutnya.

Mesyuarat itu menandakan bermulanya Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzhen dari 18 hingga 19 November, dengan pemimpin serantau dan wakil perniagaan dijadualkan berhimpun pada minggu ini.

-- BERNAMA