BERITA TERKINI   Ahmad Zahid cadang lanjut tempoh latihan PLKN kepada 90 hari atau 180 hari | Kerajaan kaji kaedah manfaatkan tenaga bekas pelatih PLKN sebagai sukarelawan bencana - TPM Ahmad Zahid | KEB Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dibuka mendatar pada 35 sen, dengan 9.51 juta saham diniagakan | 

Sektor Pembinaan Terajui Aliran Masuk Asing Di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Sektor pembinaan, pengangkutan dan logistik serta telekomunikasi dan media mencatatkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ke Bursa Malaysia pada minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya untuk minggu berakhir 13 Nov 2026, MBSB IB memaklumkan sektor pembinaan mendahului aliran masuk sebanyak RM123 juta, diikuti pengangkutan dan logistik (RM66.2 juta) serta telekomunikasi dan media (RM26.8 juta).

Sebaliknya, tiga sektor utama dengan aliran keluar asing bersih ialah teknologi sebanyak RM241.5 juta, diikuti perladangan (RM98.3 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM61.6 juta).

Ad Banner
Ad Banner

“Di Bursa Malaysia, institusi asing kembali kepada jualan asing bersih, mengakhiri aliran masuk bersih selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar sebanyak RM270.2 juta.

“Mereka merupakan penjual bersih dalam tiga daripada empat hari dagangan pada minggu tersebut. Aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan pada Selasa sebanyak RM184.1 juta, diikuti Khamis (RM149.6 juta) dan Rabu (RM21.5 juta).

“Sementara itu, satu-satunya aliran masuk bersih dicatatkan pada Jumaat berjumlah RM84.9 juta,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, MBSB IB memaklumkan institusi tempatan meneruskan aktiviti jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih berjumlah RM56 juta.

Sementara itu, katanya, pelabur runcit meneruskan aktiviti belian bersih untuk minggu ke-12 berturut-turut, merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM326.3 juta.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan secara menyeluruh, dengan pelabur runcit merosot 8.7 peratus, institusi tempatan menyusut 24.9 peratus manakala institusi asing menurun 0.8 peratus.

Di lapan pasaran Asia, MBSB IB memaklumkan pelabur asing kembali kepada belian bersih selepas mencatatkan aliran keluar selama enam minggu berturut-turut, dengan jumlah aliran masuk asing bersih sebanyak US$1.61 bilion (US$1 = RM4.08).

“Aliran masuk bersih tertinggi direkodkan di India, diikuti Indonesia manakala aliran keluar bersih dicatatkan di Taiwan, Korea Selatan, Malaysia, Vietnam, Thailand dan Filipina,” menurutnya.

-- BERNAMA