BERITA TERKINI   Malaysia dan Perancis setuju tingkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik - Macron | Malaysia dan Perancis akan melancarkan pusat bersama bagi menangani ancaman hibrid - Macron | Malaysia dan Perancis jalin kerjasama dalam bidang pemprosesan mineral kritikal, pemindahan teknologi - Anwar | Anwar puji Macron kerana ambil kira kebimbangan Malaysia serta mengiktiraf negara ini sebagai rakan kongsi setara | Malaysia, Perancis akan rangka pelan hala tuju kerjasama industri pertahanan – Macron | 

OPR Dikekalkan Beri Ruang Perniagaan Terus Berkembang - Amir Hamzah

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) dibuat berdasarkan keadaan inflasi yang terkawal serta pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata keadaan itu membolehkan kadar OPR dikekalkan pada tahap sedia ada, sekali gus memberi ruang kepada sektor perniagaan untuk terus berkembang dengan keadaan pembiayaan yang stabil.

“Bank Negara, dengan proses di bawah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) melihat keadaan inflasi dalam negara terkawal dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga masih kuat.

Ad Banner
Ad Banner

“Jadi, ia (BNM) mengambil pendekatan untuk terus mengekalkan OPR. Ini memberi ruang untuk perniagaan terus berkembang,” katanya ketika ditemui selepas acara Larian Kewangan 2026 Kementerian Kewangan bersempena dengan Hari Sukan Negara, di sini, hari ini.

MPC pada mesyuarat keenam dan terakhirnya tahun ini telah mengambil keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.

Penganalisis pasaran mengunjurkan OPR dijangka dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027 didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan unjuran inflasi tinggi daripada bank pusat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Amir Hamzah berkata keadaan ekonomi Malaysia ketika ini berbeza daripada sesetengah negara yang berdepan tekanan inflasi tinggi, ekonomi terlalu panas serta gangguan rantaian bekalan.

Katanya, tekanan seperti itu boleh menyebabkan bank pusat menggunakan kadar faedah sebagai instrumen untuk mengawal keadaan ekonomi.

“Kita tidak ada masalah seperti apa yang kita nampak di negara-negara lain, yang mana tekanan inflasinya tinggi, ada isu yang datang daripada ekonomi terlalu panas, isu rantaian bekalan yang menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kadar faedah untuk mengawal,” katanya.

Beliau berkata pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI dalam menguruskan ekonomi turut membantu Malaysia mengekalkan keadaan ekonomi yang lebih baik.

“Di Malaysia ini, saya rasa kerana pendekatan yang diambil Kerajaan MADANI itu menyeluruh, kita dapat keadaan yang lebih baik di sini,” katanya.

Amir Hamzah berkata keputusan berkaitan OPR kekal di bawah bidang kuasa BNM menerusi proses MPC berdasarkan penilaian terhadap keadaan ekonomi dan inflasi semasa.

-- BERNAMA