BERITA TERKINI   PRN Melaka: Calon BN Ngwe Hee Sem pertahan kerusi DUN Machap Jaya - SPR | PRN Melaka: Calon BN Ngwe Hee Sem pertahan kerusi DUN Machap Jaya | (TIDAK RASMI): BN menang di 21 DUN, PH empat dan PN tiga - SPR | (TIDAK RASMI): BN menang di DUN Pengkalan Batu - SPR | PRN Melaka: Calon PH Leng Chau Yen pertahan kerusi DUN Bandar Hilir, tewaskan dua pencabar - SPR | 

ASEAN Meterai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital, Perkukuh Integrasi Ekonomi

Daripada Linda Khoo Hui Li 

MANILA, 14 Nov (Bernama) -- Negara-negara ASEAN pada Sabtu melakar sejarah menerusi pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang bertujuan memudahkan urusan perdagangan dalam talian serta membantu perniagaan menjangkau pelanggan di seluruh rantau ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh menteri-menteri perdagangan kesemua 11 negara anggota ASEAN, termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ad Banner
Ad Banner

Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina Cristina Roque berkata pemeteraian perjanjian itu merupakan langkah penting ke arah memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN.

Menurutnya DEFA berpotensi menggandakan nilai ekonomi digital rantau ini daripada anggaran US$1 trilion kepada US$2 trilion menjelang 2030.

Perjanjian itu, katanya menyediakan rangka kerja bersama bagi e-dagang rentas sempadan, pembayaran elektronik dan aliran data, sekali gus memudahkan perniagaan menjangkau pelanggan di seluruh rantau ini serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap urus niaga dalam talian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Namun, cabaran sebenar kini adalah memastikan komitmen yang dicapai ini dapat direalisasikan melalui tindakan dan hasil yang nyata,” katanya.

Mengulas lanjut, Roque berkata pemeteraian perjanjian itu juga mencerminkan komitmen bersama negara-negara ASEAN selepas rundingan yang berlangsung selama bertahun-tahun dalam usaha merapatkan hubungan ekonomi serta memperluas akses kepada manfaat perdagangan digital.

Negara-negara ASEAN juga perlu berganding bahu dalam usaha menyediakan infrastruktur yang diperlukan selain memastikan perjanjian itu dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan perniagaan berskala kecil, kata beliau.

Roque turut menggesa sektor perniagaan untuk melabur dalam penyelesaian digital, mempererat kerjasama serantau dan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana PMKS menyertai ekonomi digital.

Rundingan DEFA dimuktamadkan pada Mei selepas pegawai kanan ekonomi ASEAN menyelesaikan isu-isu yang masih berbangkit dalam mesyuarat di Manila dari 27 hingga 29 Mei.

-- BERNAMA