BERITA TERKINI   PRN Melaka: Calon BN Ngwe Hee Sem pertahan kerusi DUN Machap Jaya - SPR | PRN Melaka: Calon BN Ngwe Hee Sem pertahan kerusi DUN Machap Jaya | (TIDAK RASMI): BN menang di 21 DUN, PH empat dan PN tiga - SPR | (TIDAK RASMI): BN menang di DUN Pengkalan Batu - SPR | PRN Melaka: Calon PH Leng Chau Yen pertahan kerusi DUN Bandar Hilir, tewaskan dua pencabar - SPR | 

Industri Sawit Diminta Teliti Standard Kawalan Bahan Cemar Minyak Makanan Oleh China

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) --Penggiat industri sawit disaran meneliti standard kawalan bahan cemar minyak makan oleh China susulan pelaksanaan standard berkenaan pada Sept lepas, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). 

China mula menguatkuasakan standard keselamatan makanan kebangsaan GB 31664-2025 pada 2 Sept lepas, yang menggariskan amalan kawalan bagi mengurangkan pembentukan dua jenis bahan cemar dalam minyak makan iaitu ester 3-monokloropropana-1, 2-diol (3-MCPDE) dan ester glisidil (GE).

Ketua Pengarah MPOB Datuk Badrul Hisham Mohd berkata penggiat industri perlu sentiasa peka terhadap perkembangan standard keselamatan makanan di pasaran antarabangsa bagi memastikan produk yang dihasilkan terus memenuhi keperluan pasaran dan mengekalkan keyakinan pengguna. 

Ad Banner
Ad Banner

"Keupayaan industri untuk memahami dan menyesuaikan amalan pengeluaran dengan perkembangan keperluan pasaran antarabangsa merupakan aspek penting dalam mengekalkan daya saing minyak sawit Malaysia. 

"Namun begitu, setiap perkembangan perlu diteliti berdasarkan skop dan keperluan sebenar standard yang ditetapkan, bukannya berdasarkan andaian,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Beliau berkata antara perkara yang diberi perhatian dalam standard ini ialah amalan kawalan bagi mengurangkan pembentukan 3-MCPDE dan GE sepanjang proses pengeluaran minyak makan. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Hal ini termasuk pengurusan sebatian berklorin serta kawalan suhu dan tempoh pemprosesan, khususnya pada peringkat penyahbauan.

Bagi pengeluar makanan formula bayi dan kanak-kanak kecil yang menggunakan minyak sayuran atau minyak ikan pula, standard tersebut turut menggariskan keperluan untuk menyemak laporan ujian kandungan 3-MCPDE dan GE.

"Sehubungan itu, penggiat industri sawit disaran supaya meneliti standard berkenaan, menyemak amalan kawalan mutu dan keselamatan makanan sedia ada serta berhubung dengan pengimport dan pelanggan di China untuk mendapatkan maklumat mengenai keperluan yang berkaitan dengan produk masing-masing, " katanya.

MPOB juga akan terus memantau perkembangan pelaksanaan standard ini dan mengadakan libat urus dengan pihak berkuasa berkaitan di China bagi mendapatkan penjelasan lanjut. 

Lembaga itu memaklumkan usaha ini penting untuk memastikan penggiat industri memperoleh maklumat yang tepat, dapat membuat persediaan sewajarnya dan terus mengekalkan keyakinan pasaran terhadap kualiti serta keselamatan minyak sawit Malaysia.

Untuk rekod, GB 31664-2025 terpakai secara umum kepada minyak sayuran dan minyak ikan bertapis, dan bukan ditujukan khusus kepada minyak sawit atau Malaysia. 

Oleh itu, MPOB memaklumkan pemahaman yang tepat tentang skop dan pelaksanaan standard ini amat penting bagi memastikan industri dapat mengambil langkah yang bersesuaian tanpa menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas.

-- BERNAMA