Inventori Minyak Sawit Dijangka Berkurangan Mulai November Susulan Penurunan Pengeluaran
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Lebihan inventori minyak sawit Malaysia dijangka berkurangan mulai bulan ini apabila pokok kelapa sawit memasuki tempoh pengeluaran yang rendah, berpotensi menstabilkan harga minyak sawit mentah (MSM), menurut firma penyelidikan.
Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini memaklumkan pengeluaran minyak sawit dijangka menurun tahun depan, didorong oleh faktor pengeluaran secara bermusim yang rendah dan impak daripada El Niño.
Menurutnya, inventori minyak sawit mencatatkan satu lagi paras tertinggi baharu sebanyak 3.6 juta tan pada Oktober, meningkat 3.2 peratus berbanding bulan sebelumnya apabila pengeluaran turut mencapai rekod tertinggi baharu walaupun momentum eksport adalah kukuh.
Bank pelaburan itu memaklumkan eksport minyak sawit mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun sebanyak 1.7 juta tan, disokong oleh permintaan kukuh dari Kesatuan Eropah dan India.
“Kami menjangka momentum eksport MSM yang kukuh akan berterusan pada November, mengambil kira paras harga MSM semasa yang menarik,” menurutnya.
Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan inventori minyak sawit akan berkurangan 1.5 peratus bulan ke bulan kepada 3.57 juta tan pada November berikutan penurunan pengeluaran secara bermusim yang mengatasi eksport.
Dalam nota berasingan, bank itu memaklumkan inventori minyak sawit Malaysia yang mencatatkan paras tertinggi baharu dan harga minyak mentah yang rendah memberi tekanan kepada harga MSM dalam tempoh terdekat.
“Kami menjangka inventori akan menurun secara bermusim mulai November apabila pengeluaran berkurangan daripada paras tertinggi pada Oktober, berpotensi menstabilkan harga MSM.
“Menjelang 2027, kami menjangka peningkatan risiko dari aspek bekalan berikutan El Niño, dengan keadaan yang semakin kuat dijangka berterusan sepanjang Januari hingga Mac 2027,” menurutnya.
CIMB Securities memaklumkan kemarau yang berpanjangan di Indonesia boleh menjejaskan hasil tandan buah segar dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang manakala potensi kekurangan buruh asing di Malaysia mewujudkan risiko terhadap pengeluaran minyak sawit.
“Kami mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2026/2027 sebanyak RM4,450/RM4,550 satu tan,” katanya.
Public Investment Bank dan CIMB Securities mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor perladangan.
-- BERNAMA