Pasaran Getah Ditutup Tinggi Jejaki Kenaikan Niaga Hadapan Serantau
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Selasa, menjejaki kenaikan pasaran niaga hadapan getah serantau susulan keputusan China dan Amerika Syarikat (AS) melanjutkan gencatan perang dagang antara kedua-dua negara.
Seorang peniaga berkata sentimen pasaran turut disokong oleh prestasi ekonomi China yang memberangsangkan serta jangkaan bahawa peningkatan eksport kereta China akan mengimbangi kelemahan jualan kereta domestik.
“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah, ringgit yang mengukuh sedikit berbanding dolar AS serta peningkatan sederhana dalam pengeluaran getah domestik, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya kepada Bernama.
DOSM melaporkan pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 7.3 peratus kepada 31,657 tan pada September 2026 daripada 29,510 tan pada Ogos 2026 manakala secara tahunan, pengeluaran meningkat 18.8 peratus daripada 26,647 tan pada September 2025.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) berkembang 14.5 sen kepada 970 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 4.5 sen kepada 773.0 sen sekilogram.
Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti ganti Deepavali.
-- BERNAMA