Kos Pinjaman Tinggi, Kelulusan Ketat Akan Jadi Cabaran Utama Pasaran Hartanah Pada 2027 – JLL Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kos tinggi pinjaman serta kelulusan yang lebih ketat dijangka memberi tekanan kepada pasaran hartanah kediaman di Malaysia pada 2027, memandangkan bank akan lebih berpilih dalam membiayai pembelian hartanah, demikian menurut JLL Malaysia.

Pengarah urusannya Jamie Tan berkata kemungkinan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ditambah dengan amalan pemberian pinjaman yang lebih ketat, boleh menyukarkan bakal pembeli rumah untuk mendapatkan pembiayaan, terutamanya mereka yang sangat bergantung pada pinjaman perumahan dan gadai janji.

Beliau berkata sebarang kenaikan kadar faedah boleh menjejaskan segmen kediaman serta pasaran hartanah secara lebih meluas, memandangkan pembeli rumah bergantung pada pembiayaan gadai janji.

Ad Banner
Ad Banner

“Jika dilihat pada trend lepas, setiap kali kadar faedah meningkat, ia cenderung memberi kesan kepada segmen kediaman mahupun pasaran hartanah secara keseluruhan.

“Ini kerana pembeli rumah bergantung kepada pinjaman perumahan dan pembiayaan gadai janji untuk membeli rumah mereka,” katanya pada satu sidang media, di sini, hari ini.

Tan berkata jumlah dan nilai transaksi hartanah kediaman di Malaysia mencatatkan pemulihan sederhana pada suku kedua 2026, susulan penurunan ketara pada suku pertama walaupun kedua-dua metrik tersebut sedikit rendah berbanding tahun sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan 7.9 peratus dalam jumlah transaksi kediaman pada suku kedua 2026 berbanding suku sebelumnya, manakala nilai transaksi kekal hampir tidak berubah, menunjukkan peralihan ke arah segmen pasaran lebih mampu milik.

“Johor terus mengatasi negeri-negeri lain, mengekalkan trend peningkatannya walaupun pada kadar yang agak mereda selepas tempoh pertumbuhan yang panjang,” katanya.

Sementara itu, bagi segmen hartanah perindustrian, pengarah perindustrian dan logistik JLL Malaysia, Derek Yap berkata Malaysia memerlukan lebih banyak ruang kilang yang berkualiti bagi menampung permintaan yang semakin meningkat daripada industri dalam rantaian bekalan yang berkaitan dengan sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), automotif, serta pusat data.

Beliau berkata banyak pemaju di kawasan Kuala Lumpur sedang membina gudang berbilang tingkat bagi memaksimumkan ruang pembangunan dan pendapatan sewa, manakala syarikat pembuatan pula terus memerlukan kemudahan kilang konvensional untuk aktiviti pengeluaran.

"Pendek kata, kita memerlukan lebih banyak ruang kilang untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pengeluar ini," katanya.

Beliau seterusnya mengenal pasti bekalan elektrik sebagai cabaran utama bagi pembangunan perindustrian, khususnya di Johor, memandangkan usaha menarik pelaburan pembuatan bernilai tinggi termasuk syarikat semikonduktor serta E&E memerlukan infrastruktur tenaga yang mencukupi.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd untuk mempercepat kerja menaik taraf infrastruktur bagi memenuhi keperluan elektrik sektor perindustrian, katanya.

Mengenai pusat data, Yap berkata permintaan masih kekal kukuh, didorong oleh pengembangan berterusan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan, walaupun perkembangan pada masa depan bergantung kepada ketersediaan infrastruktur penting.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam menguruskan bekalan pusat data melalui pasukan petugas khas yang memastikan bekalan tenaga, air dan kesalinghubungan yang mencukupi sebelum sesuatu projek diluluskan.

Selain itu, keperluan tenaga boleh baharu serta impak sosial sesuatu pembangunan termasuk kedekatannya dengan kawasan kediaman dan bangunan awam juga menjadi pertimbangan yang semakin penting dalam kelulusan pelaburan pusat data.

-- BERNAMA