Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Bagi Hari Ketiga Berturut-turut

Oleh K. Naveen Prabu dan Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan dengan lebih tinggi bagi hari ketiga berturut-turut pada Khamis, menjejaki peningkatan semalaman Wall Street selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedah utama pada 3.75 peratus hingga 4.00 peratus.

Pada 9.10 pagi, indeks penunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.71 mata atau 0.29 peratus kepada 1,618.58 daripada paras penutup 1,613.87 semalam.

Ad Banner
Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.57 mata kepada 1,614.44.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 198 berbanding 104, sebanyak 291 kaunter tidak berubah, 2,284 kaunter tidak diniagakan manakala dagangan 161 kaunter digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 173.26 juta unit bernilai RM74.17 juta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata keputusan Fed mengekalkan kadar faedah dalam julat 3.75 peratus hingga 4.00 peratus itu sememangnya dijangkakan walaupun kebimbangan mengenai inflasi di negara maju itu masih ketara.

Di peringkat domestik, beliau berkata indeks penanda aras memaparkan tanda-tanda penstabilan secara beransur-ansur walaupun aktiviti dagangan menunjukkan pelabur masih berpendirian berhati-hati dalam memilih kaunter atau saham yang diinginkan.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan aktiviti pembelian ketika harga rendah akan berterusan bagi saham sektor perbankan, teknologi dan perladangan yang mempunyai asas kukuh.

“Oleh itu, bagi dagangan hari ini, kami menjangkakan indeks utama itu bergerak dalam julat 1,610 hingga 1,620 mata,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menokok satu sen kepada RM10.00, Public Bank dan CIMB masing-masing naik tiga sen kepada RM4.74 dan RM7.14, Tenaga Nasional menambah 10 sen kepada RM13.32 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.83.

Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI dan Land & General masing-masing tidak berubah pada 8.5 sen dan 19 sen, Kanger International susut setengah sen kepada satu sen, CTOS Digital meraih tiga sen kepada 42 sen manakala Iconic Worldwide naik setengah sen kepada 12 sen.

Nestle mendahului senarai saham paling untung dengan melonjak 52 sen kepada RM98.50, Bursa Malaysia Bhd meningkat 11 sen kepada RM8.11, MISC naik 10 sen kepada RM8.39 manakala AMMB Holdings meraih sembilan sen kepada RM6.38.

Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan United Plantations susut 16 sen kepada RM29.16, LPI Capital merosot empat sen kepada RM13.04, Spritzer dan Hap Seng Plantations masing-masing turun tiga sen kepada RM3.66 dan RM2.22 dan QL Resources menguncup dua sen kepada RM3.78.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 31.42 mata kepada 12,098.69, Indeks FBM Top 100 naik 30.95 mata kepada 11,890.23, Indeks FBM Mid 70 menambah 30.11 mata kepada 17,478.13, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 26.34 mata kepada 12,107.48 ketika Indeks FBM ACE naik 1.57 mata kepada 5,483.49.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.06 mata kepada 179.09, Indeks Tenaga naik 1.95 mata kepada 848.32, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 62.23 mata kepada 18,641.47 namun Indeks Perladangan susut 5.12 mata kepada 8,641.71.

-- BERNAMA