Niaga Hadapan MSM Kekal Merosot Susulan Kebimbangan Pengeluaran
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan penurunan untuk hari kedua berturut-turut apabila ditutup rendah pada Selasa, berikutan jangkaan pengeluaran yang tinggi pada Oktober meskipun permintaan eksport menunjukkan peningkatan.
Peniaga Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kebimbangan mengenai paras inventori minyak sawit Malaysia yang tinggi turut menjejaskan sentimen pasaran.
“Kami mengesan paras sokongan sekitar RM4,650 satu tan, manakala paras rintangan dijangka pada RM4,850, dengan hala tuju pasaran kekal sensitif terhadap harga minyak soya dan minyak mentah,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 susut RM96 kepada RM4,462 satu tan, Disember 2026 merosot RM94 kepada RM4,610 satu tan, manakala Januari 2027 turun RM88 kepada RM4,701 satu tan.
Kontrak Februari 2027 berkurangan RM78 kepada RM4,795 satu tan, Mac 2027 turun RM69 kepada RM4,879 satu tan, manakala April 2027 merosot RM61 kepada RM4,937 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 101,228 lot berbanding 54,448 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka susut sedikit kepada 342,815 kontrak daripada 342,858 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi November Selatan susut RM40 kepada RM4,490 satu tan.
-- BERNAMA