BERITA TERKINI   Malaysia, Thailand bersetuju bentuk jawatankuasa untuk lapor, semak kemajuan Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan - Mohamad Hasan  | Malaysia akan bangkitkan isu jerebu rentas sempadan pada AMM menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 bulan depan - Mohamad Hasan | ACLE: JDT 3-0 Port FC | 

Peluasan Perlindungan Bil Elektrik Tidak Jejas Pembayaran Dividen TNB – Fadillah

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif peluasan perlindungan bil elektrik bagi pengguna domestik sehingga Disember 2026 tidak menjejaskan keupayaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memenuhi komitmen pembayaran dividen kepada pemegang saham.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu terbukti melalui pembayaran dividen interim pada Oktober, selain pengurusan kewangan dan aliran tunai secara berhemat oleh TNB bagi memastikan kemampanan operasinya.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata pengumuman dasar berkenaan menyebabkan nilai pasaran TNB merosot sebanyak RM1.3 bilion pada 18 Sept 2026.

Ad Banner
Ad Banner

“Penurunan harga saham daripada RM13.32 kepada RM13.04 itu berpunca daripada kebimbangan pelabur berhubung tanggungan kos tambahan bagi perlindungan bil elektrik, jangkaan pengurangan pendapatan sekitar dua hingga tiga peratus pada 2026, serta ketidakpastian mengenai mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api secara Automatik (AFA) dan kebolehtuntutan semula kos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Fadillah berkata harga saham TNB kemudiannya pulih, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap kedudukan kewangan, keupayaan pengurusan kos dan prospek perniagaan jangka panjang syarikat itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, beliau berkata TNB akan melaksanakan pelaburan berjumlah RM12 bilion pada 2027, selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi dan peningkatan permintaan tenaga.

Fadillah berkata TNB juga telah meluluskan peruntukan perbelanjaan modal berjumlah RM43 bilion di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh kawal selia keempat (RP4), dari 2025 hingga 2027, untuk memperkukuh keterjaminan bekalan elektrik jangka panjang serta rangkaian grid nasional.

-- BERNAMA