TNB Komited Sambung Pusat Data Ke Grid Elektrik Dalam Tempoh Setahun

Daripada Rosemarie Khoo Mohd Sani

SINGAPURA, 27 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited untuk menyambungkan pusat data yang telah mendapat kelulusan kepada grid elektrik dalam tempoh setahun, ketika Malaysia memperkukuh rangkaian elektrik domestiknya bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat serta meningkatkan kesalinghubungan elektrik serantau.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Ahmad Sazree Abd Aziz berkata rangkaian penghantaran dan pengagihan elektrik domestik yang kukuh amat penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya Grid Tenaga ASEAN (APG).

Ad Banner
Ad Banner

“APG sememangnya membantu memperkukuh keselamatan bekalan elektrik serantau. Namun, pada masa yang sama, manfaat sebenar APG bergantung pada kekuatan rangkaian domestik, khususnya rangkaian penghantaran dan pengagihan,” katanya pada sesi panel bertajuk “Memperkukuh Keselamatan Elektrik melalui APG” sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 di sini hari ini.

Ahmad Sazree berkata TNB perlu memastikan keupayaan rangkaian elektrik seiring dengan peningkatan permintaan yang didorong oleh pertumbuhan ekonomi, penggunaan elektrik oleh sektor kediaman dan komersial serta pusat data yang menggunakan tenaga elektrik dalam jumlah besar, di samping mengekalkan kebolehpercayaan dan daya tahan rangkaian.

Beliau berkata tiga langkah praktikal penting dalam mempersiapkan rangkaian elektrik Malaysia untuk menghadapi peningkatan permintaan ialah unjuran permintaan, perancangan kapasiti rangkaian dan pembangunan infrastruktur bersasar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Di Malaysia, kita sememangnya berdepan tekanan dari segi permintaan pusat data.

“Justeru, sebaik sahaja projek itu diluluskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan kementerian, kami berjanji untuk menyambungkan pusat data berkenaan kepada grid dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata TNB juga perlu memastikan rangkaian pengagihannya dimodenkan dan didigitalkan bagi memudahkan penyambungan sumber tenaga boleh baharu pada peringkat pengagihan.

Selain itu, perancangan permintaan dan bekalan secara bersepadu penting untuk meningkatkan penyelarasan antara rangkaian penghantaran dengan pengagihan, sekali gus membolehkan sistem menampung peningkatan permintaan daripada pusat data serta penyepaduan tenaga boleh baharu.

Beliau berkata penyelarasan unjuran permintaan, perancangan infrastruktur dan keutamaan pelaburan turut membantu memastikan pembangunan rangkaian memperkukuh sistem elektrik secara menyeluruh.

-- BERNAMA