MIDA Gesa Strategi Pelaburan Terselaras Untuk Jadikan Borneo Hab Pelaburan

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pelan tindakan Invest Borneo harus menumpukan kepada rantaian nilai bersama, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan merentasi sempadan serta mengutamakan realisasi pelaburan bagi memperkukuh kedudukan pulau itu sebagai hab pelaburan.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata agensi itu menerusi pejabatnya di Kota Kinabalu dan Kuching, bersedia untuk bekerjasama dengan Invest Sabah, Invest Sarawak, Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei, rakan dari Indonesia, serta Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UN ESCAP) bagi memajukan inisiatif tersebut.

“Borneo unik. Ia merupakan satu-satunya pulau di dunia yang dikongsi oleh tiga negara. Bagi seorang pelabur, ini bermakna terdapat tiga set peraturan, tiga set insentif, dan memandangkan Sabah serta Sarawak masing-masing mempunyai agensi pelaburan sendiri, sekurang-kurangnya empat tawaran pelaburan yang berasingan.

Ad Banner
Ad Banner

“Borneo tidak pernah kekurangan sumber atau potensi. Cuma para pelabur kurang mendapat gambaran jelas tentang bagaimana bahagian-bahagiannya saling melengkapi,” katanya semasa berucap pada persidangan Meja Bulat Perniagaan Borneo 2026 bertajuk “Invest Borneo: Membina Agenda Pelaburan Bersama” di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM426.7 bilion pada 2025 manakala Sabah dan Sarawak yang merangkumi kira-kira 60 peratus daripada keluasan tanah negara, secara keseluruhan hanya menarik kurang daripada tujuh peratus jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun lepas, sekali gus menunjukkan peluang pelaburan yang belum diteroka di Borneo.

“Momentum tersebut menggalakkan. Pada separuh pertama 2026 sahaja, Sarawak mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM10.8 bilion (kira-kira tiga suku daripada jumlah keseluruhan bagi 2025), manakala Sabah mencatatkan RM6.8 bilion.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Angka rentas sempadan kita menunjukkan gambaran yang serupa. Perdagangan antara Malaysia dan Brunei bernilai RM5.86 bilion pada tahun lepas. Bagi dua jiran rapat yang berkongsi sempadan yang panjang serta sejarah yang sama, banyak lagi yang kita boleh lakukan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata di bawah Pelan Tindakan Penggalakan Pelaburan Serantau ASEAN 2025-2030, ASEAN meletakkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan tunggal merentasi rantaian nilai serantau, dengan projek yang sedia untuk pelaburan telah dibentangkan semasa Forum Pelaburan ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober lepas.

Beliau berkata Invest Borneo menerapkan pendekatan yang sama dengan memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi, dengan Brunei menawarkan industri hiliran dalam sektor metanol dan baja, serta kekuatan dalam produk halal dan kewangan Islam, Sarawak menyediakan tenaga boleh baharu, Sabah menyumbang dalam sektor minyak dan gas, pertanian, dan pelancongan manakala Kalimantan menawarkan peluang melalui Nusantara serta akses kepada pasaran domestik Indonesia.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia sedang berkembang ke dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), dan teknologi hijau melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Strategi Semikonduktor Negara, di samping memperkukuh infrastruktur digital serantau, kelestarian, dan kerjasama awam-swasta.

“Kita sudah pun menjadi sebahagian daripada rantaian nilai semikonduktor dan kenderaan elektrik (EV) serantau. Malah, kita juga sedang berkembang pesat dalam sektor pusat data,” katanya.

Beliau berkata bagi Brunei dan Malaysia, terdapat tiga peluang sektoral jangka masa terdekat yang menonjol, iaitu peralihan tenaga dan industri hijau, halal serta kewangan Islam dan juga kemahiran digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Semua ini tidak berlaku semata-mata melalui usaha kerajaan. Ia berlaku apabila pemimpin perniagaan mengambil inisiatif untuk berhubung, menandatangani memorandum persefahaman (MoU), dan berani mengambil risiko pertama,” katanya. 

-- BERNAMA