STR, SARA Bantu Isi Rumah Hadapi Peningkatan Kos Sara Hidup, Bantuan Jangka Pendek

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) harus kekal sebagai langkah jangka pendek dan bukannya kekal memandangkan program itu direka membantu menangani peningkatan kos sara hidup dan mengekalkan kuasa beli, kata ahli ekonomi.

Matlamat yang lebih penting dalam membantu rakyat adalah untuk meningkatkan kedudukan ekonomi dan taraf hidup melalui pendidikan dan penjagaan kesihatan, selain memupuk budaya untuk menaik taraf diri sendiri.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penggantungan berterusan terhadap bantuan sedemikian boleh menjejaskan keberkesanan usaha jangka panjang kerajaan dalam bidang seperti pendidikan, latihan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur bagi menggalakkan mobiliti sosial.

“Penggantungan yang berterusan terhadap bantuan itu boleh menimbulkan kebimbangan kerana berupaya memperluas jurang ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan, sekali gus menjejaskan perpaduan sosial dalam ekonomi.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu membuat sasaran untuk mengurangkan jumlah penerima bantuan tunai secara berperingkat apabila dasar jangka panjang dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan kedudukan ekonomi masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Berhubung keadaan ekonomi yang diperlukan bagi memansuhkan STR dan SARA secara berperingkat tanpa menjejaskan isi rumah yang mudah terjejas, Mohd Afzanizam berkata kerajaan perlu memantau tahap pendapatan isi rumah serta memastikan keluarga terus menghantar anak-anak ke sekolah dan menjaga kesihatan mereka.

“Sekiranya terdapat petunjuk bahawa pendapatan mereka atau isi rumah meningkat, saya berpendapat bantuan tunai boleh dikurangkan secara berperingkat.

“Bagaimanapun, untuk mengurangkan bantuan itu juga agak mencabar kerana keluarga berkenaan mungkin sudah terbiasa menerima bantuan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata agensi kerajaan perlu mendekati masyarakat untuk menjelaskan bahawa bantuan itu merupakan langkah sementara dan menekankan pentingnya untuk isi rumah memanfaatkan program pendidikan dan latihan yang disediakan kerajaan demi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kebimbangan utama di sini adalah risiko moral apabila isi rumah terlalu bergantung kepada program bantuan tunai tanpa berusaha secukupnya untuk meningkatkan kemahiran dan memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Jadi, dalam hal ini kerajaan perlu mendekati dan berkomunikasi dengan isi rumah di Malaysia bagi menjelaskan bahawa bantuan ini merupakan langkah sementara,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities Malaysia Nazmi Idrus berkata STR dan SARA tidak seharusnya dilihat sebagai bentuk bantuan kerajaan yang kekal atau pemberian tanpa syarat.

Ia sebaliknya perlu dilihat sebagai langkah untuk menangani jurang pendapatan dan memastikan golongan miskin mendapat akses kepada keperluan asas.

“Program bantuan sebenarnya adalah untuk menolong mengurangkan jurang pendapatan dan mewujudkan masyarakat yang lebih saksama. Kerajaan juga bertanggungjawab memastikan keperluan asas golongan miskin dipenuhi. Itulah tujuan STR dan SARA.

"Tetapi, pemberian wang tunai tanpa syarat kepada semua orang (seperti SARA sebanyak RM100) adalah tidak wajar,” kata beliau.

Beliau berkata pertumbuhan gaji yang mampan dan pendapatan isi rumah yang meningkat penting untuk membantu penerima mencapai kebebasan kewangan, meskipun usaha memastikan semua individu memperoleh gaji yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup memerlukan masa.

“Terdapat juga risiko bantuan yang terlalu banyak boleh menghakis dorongan untuk kuat bekerja. Oleh itu, keseimbangan perlu dicapai antara keperluan rakyat dengan kemampuan kerajaan untuk membiayainya,” kata beliau.

Mengenai implikasi ekonomi dan fiskal jangka panjang sekiranya bantuan tunai dijadikan komponen kekal dalam sistem perlindungan sosial Malaysia, Nazmi berpendapat trend global menunjukkan program sedemikian berkemungkinan akan terus dilaksanakan.

“Ini bermakna kerajaan mungkin perlu mengenakan cukai yang lebih tinggi terhadap golongan kaya untuk membantu golongan miskin,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar bantuan dikaitkan dengan aktiviti yang dapat meningkatkan produktiviti, seperti mewajibkan penerima faedah pengangguran mencari pekerjaan atau menyediakan sokongan pendapatan sebaik sahaja individu menamatkan program latihan.

“Jika kita memupuk budaya untuk menambah baik diri sendiri, penerima bantuan mungkin tidak perlu bergantung kepada bantuan itu untuk selama-lamanya,” tambah beliau.

Di bawah Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan RM16 bilion untuk program bantuan STR dan SARA.

-- BERNAMA