BERITA TERKINI   Malaysia, Thailand bersetuju bentuk jawatankuasa untuk lapor, semak kemajuan Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan - Mohamad Hasan  | Malaysia akan bangkitkan isu jerebu rentas sempadan pada AMM menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 bulan depan - Mohamad Hasan | ACLE: JDT 3-0 Port FC | 

Kerajaan Ambil Langkah Segera Perbaiki Tadbir Urus GLC, GLIC - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan mengambil langkah segera untuk memperbaiki tata kelola dan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk cadangan membentangkan rang undang-undang entiti milik kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata rang undang-undang yang dicadangkan itu akan menetapkan peraturan lebih jelas dan ketat, termasuk berhubung had kuasa dan tanggungjawab pihak yang menerajui entiti berkenaan.

“Jika kita melihat pengalaman lepas, wujud kekuatan dan kelemahan. Ini telah dilaporkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pasukan petugas khas, Kertas Putih 1MDB, Felda dan Tabung Haji (TH).

Ad Banner
Ad Banner

“Seperti yang sedia maklum oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, pelanggaran itu agak banyak dan tentunya keterlaluan, sukar untuk dipertahankan,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (DAP-Bangi) mengenai langkah kerajaan untuk menambah baik tadbir urus GLC, GLIC dan badan berkanun bagi mengelakkan episod seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan TH berulang.

Beliau berkata peraturan yang jelas juga diperlukan untuk mengawal selia anak syarikat agensi kerajaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Anwar berkata setakat ini, kerajaan tidak mengenal pasti sebarang pelanggaran tadbir urus dalam syarikat berkenaan seperti yang berlaku dalam 1MDB dan TH sebelum ini.

Perdana Menteri berkata usaha untuk mengenakan kekangan dan sekatan berdepan dengan bantahan kuat daripada kelompok elit politik dan usahawan yang terbiasa dengan budaya lama.

Justeru, beliau berkata memerlukan tekad politik untuk menanganinya.

“Soal tadbir urus perlu diperketatkan, had kuasa dan tokoh yang diletakkan itu mesti lebih bertanggungjawab, tidak menjadikan ini sebagai harta atau hak milik peribadi dan keluarga,” kata beliau.

Terdahulu, Syahredzan meminta Perdana Menteri menyatakan rasional penglibatan jabatan kerajaan, GLIC, GLC dan badan berkanun dalam projek pembangunan serta sejauh mana pendekatan itu dapat mempercepat penyelesaian masalah rakyat tanpa menjejaskan mandat dan tanggungjawab utama institusi berkenaan.

Anwar berkata pelaburan GLIC dan GLC membantu syarikat tempatan berkembang serta menarik pelabur swasta dari dalam dan luar negara.

Beliau memberikan contoh Dana Impak Khazanah Nasional Bhd, yang telah melabur sebanyak RM2.6 bilion sejak ditubuhkan pada 2021.

Antara syarikat tempatan yang menerima pelaburan Khazanah ialah Farm Fresh Bhd, dengan pegangan saham awal sebanyak 30 peratus sebelum syarikat itu disenaraikan dengan nilai RM2.5 bilion.

Beliau berkata Khazanah kemudiannya melupuskan pegangan sahamnya selepas syarikat itu berjaya.

Anwar berkata Belanjawan 2027 turut menyediakan pelaburan sebanyak RM450 juta menerusi Jelawang Capital, Khazanah dan Dana Perintis Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk membangunkan syarikat pemula niaga.

Anwar turut menegaskan bahawa pelaburan di luar negara perlu diteliti dengan lebih rapi bagi mengelakkan pengalaman pelaburan dalam projek Battersea Power Station di United Kingdom berulang.

Beliau berkata nilai pelaburan awal dalam projek itu terlalu tinggi dan telah mengalami kerugian serta usaha untuk memulihkannya sedang dilaksanakan.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Karim (PKR-Pasir Gudang) mengenai jumlah pelaburan GLC dan GLIC dalam projek pembangunan semula Battersea Power Station di London dan manfaatnya kepada ekonomi negara.

Dalam pada itu, Anwar berkata institusi seperti KWAP, Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd turut mencari peluang pelaburan di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, katanya sejak tiga tahun lepas, kerajaan menetapkan keutamaan pelaburan dalam negara dengan kadar sekurang-kurangnya 20 peratus pada peringkat awal.

Anwar juga berkata kadar itu ditingkatkan mengikut kesediaan dan keupayaan institusi tersebut.

Beliau berkata sebahagian besar pelaburan di luar negara menjana keuntungan yang tinggi walaupun ada yang mengalami kerugian.

Mengulas pelaburan KWAP dalam eFishery, Anwar berkata kegagalan pelaburan itu tidak seharusnya dianggap mewakili prestasi keseluruhan KWAP yang mencatatkan keuntungan RM8 bilion.

-- BERNAMA