BERITA TERKINI   Malaysia, Thailand bersetuju bentuk jawatankuasa untuk lapor, semak kemajuan Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan - Mohamad Hasan  | Malaysia akan bangkitkan isu jerebu rentas sempadan pada AMM menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 bulan depan - Mohamad Hasan | ACLE: JDT 3-0 Port FC | 

GEAR-uP Masih Ikut Jadual, Pelaburan Dijangka Meningkat Akhir Tahun Ini - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan program GEAR-uP masih mengikut jadual, dengan pelaburan dijangka meningkat pada akhir tahun ini dan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tahun pertama pelaksanaan program itu banyak melibatkan perancangan, kajian dan penelitian, dengan pengalaman lepas mendorong pihak terbabit lebih berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan.

“Soal GEAR-uP ini memang benar tetapi kalau ikut dalam perancangan mereka, itu dia pick up untuk akhir tahun ini dan tahun depan. Justeru, saya melihat daripada perkembangan dalam laporan terakhir, nampak masih ikut jadual,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai langkah kerajaan mempercepat penyaluran pelaburan di bawah program itu dan memastikan dana berkenaan tidak disalahgunakan.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan melarang sama sekali campur tangan mana-mana tokoh politik dalam menentukan projek dan keutamaan projek.

“Projek itu mesti ditetapkan dan ada badan pelabur yang terdiri daripada golongan profesional dan mempunyai kepakaran tertentu,” kata beliau.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Terdahulu, menjawab soalan asal Syahredzan Johan (DAP-Bangi), Anwar berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi komitmen pelaburan langsung domestik sebanyak RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028 berdasarkan keutamaan dan penilaian masing-masing.

Beliau berkata komitmen itu adalah tambahan kepada pelaburan sedia ada sebanyak RM440 bilion dalam pasaran awam domestik.

Perdana Menteri berkata penglibatan GLIC, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun dalam pembangunan bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi domestik di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Anwar berkata mandat GLIC dan GLC untuk menjana keuntungan dikekalkan, di samping mengambil kira kepentingan agenda negara, termasuk warisan, bumiputera dan ekonomi tempatan.

-- BERNAMA