Matang Gantung Ketua Pegawai Kewangan Bagi Memudahkan Siasatan Dalaman

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Matang Bhd menggantung tugas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) merangkap Pemangku Ketua Pegawai Operasi (COO) Tan Theng Hwee berkuat kuasa hari ini bagi memudahkan siasatan dalaman.

Syarikat perladangan itu memaklumkan penggantungan berkenaan merupakan langkah sementara yang diambil oleh lembaga pengarah bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung beberapa perkara berkaitan tadbir urus, operasi dan tingkah laku pengurusan.

“Lembaga pengarah ingin menegaskan bahawa siasatan itu masih di peringkat awal dan tiada sebarang salah laku oleh Tan yang telah dibuktikan.

Ad Banner
Ad Banner

“Penggantungan itu merupakan langkah pentadbiran yang neutral bagi memelihara integriti siasatan yang sedang dijalankan serta rekod berkaitan, dan tidak merupakan tindakan tatatertib atau penentuan liabiliti,” menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Matang memaklumkan sepanjang tempoh penggantungan itu, tugas dan tanggungjawab CFO serta Pemangku COO akan dipangku sementara oleh Hoi Siew Chien, seorang perunding dan penasihat, bagi memastikan kelancaran pengurusan serta kesinambungan operasi.

Penggantungan itu dijangka tidak memberikan kesan material terhadap kewangan atau operasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia Securities Bhd sekiranya terdapat perkembangan material berhubung perkara ini,” menurutnya.

-- BERNAMA