MyDCD Sasar Kutip RM187.6 Juta Menerusi IPO

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- MyDCD Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM187.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Nov 2026.

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan itu menawarkan 335 juta saham baharu menerusi terbitan awam pada harga IPO 56 sen sesaham, selain tawaran jualan sebanyak 145 juta saham sedia ada.

“Daripada hasil kasar RM187.6 juta yang akan dikumpulkan menerusi terbitan awam itu, sebanyak 71.43 peratus atau RM134 juta diperuntukkan bagi keperluan modal kerja, terutamanya untuk menyokong pelaksanaan projek dan membiayai bon prestasi.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebanyak 21.27 peratus lagi atau RM39.9 juta akan digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan melalui pengambilan kakitangan tambahan, penyewaan ruang pejabat baharu dan latihan kakitangan, manakala 2.66 peratus atau RM5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem teknologi maklumat,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Baki RM8.7 juta akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

Ketua Pegawai Eksekutif MyDCD Chris Ow Yong berkata syarikat itu, yang mengkhusus dalam penyepaduan sistem mekanikal, elektrikal, paip dan perlindungan kebakaran (MEPF) bagi infrastruktur kritikal, khususnya pusat data, menjangkakan peluang pertumbuhan berterusan dalam sektor berkenaan seiring perkembangan ekonomi digital.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sepanjang 15 tahun lepas, kami sentiasa terlibat dalam sektor pusat data dan berkembang dari tahun ke tahun. Kami melihat sektor pusat data akan terus berkembang selaras dengan perkembangan ekonomi digital,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus IPO syarikat itu di sini hari ini.

Beliau berkata operasi MyDCD ketika ini tertumpu di Lembah Klang, dengan projek yang kebanyakannya melibatkan pusat data perusahaan dan pusat data kolokasi.

Katanya, syarikat itu merancang untuk meneroka peluang di kawasan lain di Malaysia selepas penyenaraiannya, namun tidak mempunyai perancangan segera untuk mengembangkan operasi ke luar negara.

Ow Yong berkata perniagaan penyelenggaraan syarikat itu juga dijangka berkembang apabila lebih banyak projek pusat data disiapkan.

“Perniagaan penyelenggaraan akan terus berkembang apabila lebih banyak projek kami disiapkan... akan ada lebih banyak kerja penyelenggaraan untuk kami,” katanya.

Beliau berkata kerja penyelenggaraan lazimnya bermula satu hingga dua tahun selepas sesuatu projek disiapkan, sekali gus melengkapi aktiviti pembinaan pusat data syarikat itu.

Menurut prospektus, modal saham MyDCD yang diperbesarkan selepas penyenaraian akan terdiri daripada 1.794 bilion saham, sekali gus memberikan syarikat itu anggaran permodalan pasaran sebanyak RM1 bilion berdasarkan harga IPO 56 sen sesaham.

Permohonan bagi IPO itu dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 2 Nov 2026.

TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA