BERITA TERKINI   AKPS terajui tiga syor penambahbaikan keselamatan KLIA susulan insiden penahanan juruterbang di Jakarta - Saifuddin Nasution | AKPS sasar penghantaran keluar 1,259 kontena membawa e-waste menjelang hujung tahun ini - TKP AKPS | AKPS perkenal hologram di KLIA, bantu pengembara dapat maklumat ketibaan - TKP AKPS | 

Hari Eksport Pahang Himpun Hampir 70 Usahawan, Syarikat PMKS

KUANTAN, 26 Okt (Bernama) -- Hari Eksport Pahang 2026 edisi kedua yang berlangsung hari ini berjaya menghimpunkan hampir 70 usahawan dan syarikat, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari pelbagai sektor industri di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Abu Bakar Yusof berkata usahawan tempatan mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi kepelbagaian produk yang dihasilkan.

Katanya walaupun kebanyakan PMKS di Pahang terlibat dalam sektor makanan dan minuman, terdapat juga syarikat yang menghasilkan produk industri bernilai tambah tinggi, termasuk bahan pembinaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebagai contoh, antara penerima anugerah pada program hari ini menghasilkan produk sealant atau bahan pengedap silikon yang digunakan dalam industri pembinaan.

“Ini menunjukkan bahawa produk PMKS bukan sahaja terhad kepada makanan dan minuman, malah merangkumi produk industri yang mempunyai nilai tambah tinggi,” katanya pada sidang media Hari Eksport Pahang di sini hari ini. 

Abu Bakar berkata usahawan dalam sektor makanan dan minuman juga perlu memberikan penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pendigitalan untuk meningkatkan nilai produk dan daya saing di pasaran antarabangsa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya MATRADE menerusi Akademi MATRADE akan membimbing usahawan tempatan untuk meningkatkan nilai produk, termasuk dari segi pembungkusan, pensijilan dan pelabelan bagi memenuhi peraturan dan piawaian antarabangsa.

“Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan produk tersebut mempunyai nilai tambah dan daya tarikan kepada pembeli serta pengimport antarabangsa,” katanya. 

Beliau berkata Pahang mencatatkan lebihan dagangan kira-kira RM5 bilion hingga RM6 bilion pada tahun lepas dan usaha meningkatkan eksport diharap dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif MATRADE dalam membantu usahawan tempatan meningkatkan keupayaan dan daya saing untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata Pahang mempunyai kelebihan dari segi rangkaian pengangkutan dan logistik yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada pengeksport tempatan untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara.

“Antaranya ialah pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang, selain dijangka meningkatkan keupayaan logistik dan membuka akses ke pasaran global,” katanya.

Katanya pengeksport boleh menggunakan Pelabuhan Kuantan untuk menghantar produk ke pasaran Asia Timur dan Asia Utara, termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Taiwan manakala ECRL Fasa 2 berpotensi memudahkan penghantaran barangan ke Pelabuhan Klang untuk dieksport ke Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika Syarikat.

Mohamad Nizar berkata perkembangan sektor perkapalan di Pelabuhan Kuantan turut memberikan kelebihan kepada pengeksport susulan pengoperasian Konsortium Perkapalan Timur yang menyediakan perkhidmatan penghantaran kenderaan ke Kuching menggunakan kapal Roll-on/Roll-off (RORO).

“Ini masih pada peringkat permulaan dan kita berharap syarikat perkapalan berkenaan dapat memperluas perkhidmatan kepada penghantaran kontena serta membuka lebih banyak laluan ke destinasi lain termasuk China dan negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata peluasan perkhidmatan itu berpotensi meningkatkan perdagangan serantau, selain menyediakan lebih banyak pilihan logistik kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

-- BERNAMA