Bursa Malaysia Rendah Setakat Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih rendah, seiring prestasi kebanyakan pasaran serantau susulan kelemahan semalaman Wall Street.
Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.05 mata atau 0.19 peratus kepada 1,605.09 mata daripada 1,608.14 yang dicatatkan pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu yang dibuka menguncup 0.51 mata kepada 1,607.63 mata dan bergerak dalam julat 1,604.63 mata hingga 1,609.93 mata sepanjang sesi dagangan pagi ini.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 537 berbanding 345 manakala 465 kaunter tidak berubah, 1,554 kaunter tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.81 bilion unit bernilai RM1.04 bilion.
Dalam pada itu, Apex Securities Bhd menjangkakan FBM KLCI diniagakan rendah hari ini yang menyusuli kemerosotan ketara Wall Street pada malam sebelumnya.
Keadaan itu dicetuskan oleh kebimbangan baharu mengenai perbelanjaan serta pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang hanya memberi tekanan ke atas saham teknologi, sekali gus melenyapkan kenaikan dicatatkan pada Rabu.
“Di peringkat domestik, saham-saham yang lebih bersifat mampu bertahan dan dipacu oleh keadaan domestik, berkemungkinan memberi sedikit sokongan di tengah-tengah sentimen luaran yang lemah.
“Saham teknologi berkemungkinan di bawah tekanan susulan kebimbangan berkaitan perbelanjaan membabitkan AI manakala saham tenaga berpotensi mendapat manfaat daripada lonjakan harga dalam keadaan tegang di Asia Barat.
“Selain itu, saham pembinaan mungkin terus menjadi tumpuan susulan peluang membabitkan projek pusat data yang berterusan selain potensi memperoleh kontrak baharu,” menurut firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.72, SD Guthrie naik tiga sen kepada RM5.76, Maybank susut satu sen kepada RM9.96 manakala CIMB dan TNB masing-masing rugi empat sen kepada RM7.11 dan RM13.20.
Kaunter paling aktif dibarisi Zetrix AID yang menokok 1.5 sen kepada 6.5 sen, Ni Hsin meraih 2.5 sen kepada 48.5 sen, VS Industry turun satu sen kepada 32 sen dan MAG Holdings merosot setengah sen kepada 15.5 sen.
Saham paling untung pula menyaksikan Nestle meningkat 54 sen kepada RM89.50, Petronas Chemicals dan Kelington masing-masing melonjak 16 sen kepada RM4.65 dan RM8.54 manakala Kuala Lumpur Kepong menokok 12 sen kepada RM20.42.
Sebaliknya kaunter paling rugi didahului oleh Allianz Malaysia ICPS yang susut 48 sen kepada RM19.52, Malaysian Pacific Industries turun 34 sen kepada RM39.96, Hong Leong Bank berkurangan 26 sen kepada RM21.24 manakala Batu Kawan menguncup 22 sen kepada RM19.08.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 meningkat 6.37 mata kepada 17,124.74 mata, Indeks FBM Emas turun 16.66 mata kepada 11,947.84 mata dan Indeks FBM Top 100 susut 15.47 mata kepada 11,754.36 mata.
Indeks FBM Emas Shariah menguncup 15.16 mata kepada 11,916.82 mata manakala Indeks FBM ACE susut 5.92 mata kepada 5,317.58 mata.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.21 mata kepada 175.66 mata, Indeks Perladangan menambah 11.75 mata kepada 8,674.43 mata, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 46.22 mata kepada 18,558.78 mata manakala Indeks Tenaga meningkat 0.23 mata kepada 832.03 mata.
-- BERNAMA